Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Penganjuran Seminar Kelestarian Masjid oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilihat menjadi pemangkin kepada pengurusan masjid yang lebih efisien, lestari dan berdaya saing dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan ummah.
Bertemakan “Masjid Bestari, Ummah Berintegriti”, seminar ini berjaya menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid seluruh Perak sebagai tindakan proaktif JAIPk membantu pengurusan masjid di negeri itu.
Majlis perasmian seminar tersebut disempurnakan oleh Pengarah JAIPk, YBhg. Dato’ Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim di Hotel Impiana pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan para pemakmur masjid agar sentiasa kekal mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh JAIPk sebelum ini demi memastikan kelestarian pengurusan dan keharmonian jemaah.
Padam masa yang sama, beliau turut menyerahkan Kit Pengurusan Jenazah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Kumpulan Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn. Bhd. kepada jawatankuasa masjid seluruh negeri Perak.
Sementara itu, seminar pada kali ini menampilkan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIPk, YBrs. Tuan Haji Firdaus Salleh dalam sesi Taklimat Masjid yang menekankan tanggungjawab memastikan tatakelola masjid ditadbir dengan baik, di samping institusi itu bertindak sebagai wahana pembangunan anak kariah menerusi jaringan kerjasama pelbagai pihak.
Taklimat tersebut turut memperkenalkan beberapa teknologi pelantar terkini kepada peserta seperti Portal Pengurusan Masjid Negeri Perak (e-Masjid 2.0) bagi memudah cara urusan pentadbiran dan kegiatan masjid, serta JendelaDBP, sebagai platform yang menyiarkan khutbah Jumaat pada setiap minggu.
Menurut Tuan Haji Firdaus, setiap jawatankuasa masjid hendaklah memantau rapi terhadap bacaan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAIPk melalui sokongan platform teknologi maklumat daripada agensi luar, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Selain itu, Mantan Pengerusi Masjid al-Busyra, Merbok, YBrs. Ustaz Mohd Firdaus Mat Akhir dalam sesi perkongsiannya pula menegaskan bahawa ilmu pengetahuan dan kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi merealisasikan peranan institusi masjid yang memperkasakan modal insan dalam komuniti ummah.
