Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:


Maksudnya: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang Zulkarnain. Katakanlah ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita tentangnya.’ Sesungguhnya Kami telah memberi kuasa kepadanya di bumi dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mempunyai) segala sesuatu.”
(Surah al-Kahf 18:83–84)
Ayat ini mengisahkan kepimpinan dan pemerintahan Zulkarnain yang berteraskan keadilan dan kebijaksanaan. Zulkarnain menjelajahi pelbagai wilayah di bumi, membawa panji keadilan berpaksikan hukum dan syariat Ilahi agar manusia dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan damai.
Menginsafi bahawa kuasa pemerintahan merupakan amanah dan tanggungjawab kurniaan Allah SWT yang mengangkat seseorang manusia sebagai penguasa di bumi, Zulkarnain sentiasa mengamalkan sikap patuh kepada perintah Penciptanya. Tatkala beliau tiba di wilayah barat, al-Quran merakamkan ucapannya menerusi firman Allah SWT:

Maksudnya: “Zulkarnain berkata, ‘Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami kelak akan menghukumnya, kemudian dia dikembalikan kepada Tuhannya lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tidak ada tarafnya. Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang mudah.’”
(Surah al-Kahf 18:87–88)
Ucapan tersebut membuktikan bahawa prinsip keadilan yang diamalkan oleh Zullkarnain, memberikan imbalan yang sesuai dengan amal, tidak dipengaruhi nafsu, dan tidak menjatuhkan hukuman secara salah berdasarkan pangkat, taraf kekayaan atau keturunan seseorang. Zulkarnain menghukum pelaku kezaliman dan menghargai orang beriman yang berbuat kebaikan, iaitu orang yang tidak menyalahgunakan kuasa, jauh sekali menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi.
Selaku raja pemerintah, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak mempunyai kedudukan yang paling utama, memayungi pemerintahan negeri. Baginda berperanan sebagai ketua agama Islam dan bertanggungjawab memastikan negeri ditadbir secara adil, telus dan beramanah.
Di samping itu, baginda juga menjamin setiap rakyat memperoleh hak, perlindungan dan pembelaan yang saksama tanpa pilih kasih atau diskriminasi agar negeri terus makmur dan rakyat hidup sejahtera.
Sejarah menunjukkan bahawa kemakmuran negeri dan kerajaan bukan disebabkan khazanah kekayaan harta semata-mata, tetapi diperintah secara adil, rakyat menikmati limpahannya lalu hidup dalam ketaatan kepada kepimpinan. Keadilan dan kesaksamaan ialah asas dan tunjang kemakmuran sesebuah negeri.
Sifat keadilan raja pemerintah dengan adunan kasih rakyat akan merangkaikan persefahaman yang meningkatkan kesetiaan rakyat kepada takhta. Hubungan ini menjamin pemerintahan yang berdaulat dan kerajaan yang stabil. Negeri menjadi makmur, rakyat hidup harmoni serta mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Islam mewajibkan umatnya mentaati pemimpin yang dilantik secara sah selagi tidak menyeru kepada perkara yang menyalahi syarak. Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Setiap Muslim wajib mendengar dan mentaati (pemimpin) pada perkara yang dia suka atau tidak suka kecuali jika (pemimpin) menyuruh kepada perkara maksiat. Jika pemimpin menyeru kepada maksiat, maka tidak wajib dengar dan taat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Islam turut menyeru agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang itu. Sabda Rasulullah SAW:
![]()
Bermaksud: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Pada mimbar Jumaat setiap minggu, khatib mendoakan kesejahteraan raja manakala jemaah mengaminkannya agar sentiasa berada dalam bimbingan serta mendapat keredaan Ilahi, berlaku adil kepada rakyat, dikurniakan taufik dan hidayah, dan menyempurnakan pemerintahan dalam negeri yang aman dan sentosa.
Bersempena dengan ulang tahun sambutan hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah, beberapa peringatan dan harapan perlu diambil perhatian oleh umat Islam seperti yang berikut:
Pertama: Takhta pemerintahan bertenaga memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dalam kepelbagaian, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Kedua: Takhta pemerintahan memahami dan menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon agar takhta berperanan sebagai penimbang tara yang bebas, bertindak secara adil dan saksama, menyemak dan mengimbang, berpegang pada prinsip meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang tanpa berpihak, di samping kekal mencuar tinggi atas segala polemik politik kepartian.
Ketiga: Takhta pemerintahan menginsafi bahawa kedudukan dan kuasa merupakan anugerah dan ujian Ilahi. Oleh itu, sewajibnya memperlihatkan sebaik-baik contoh teladan kepimpinan dalam memenuhi amanah Allah SWT dan harapan rakyat agar kemuliaan takhta tidak tercemar dan kedaulatan institusi raja kekal dijunjung.
Keempat: Takhta pemerintahan perlu didampingi dan dibantu oleh penasihat daripada kalangan ulama dan umara yang jujur, ikhlas, berilmu, arif dan bijaksana. Begitu juga barisan penasihat yang bebas daripada menggunakan kedudukan dan hubungan dengan istana untuk kepentingan peribadi, selain berupaya mempersembahkan sebaik-baik nasihat dan seikhlas pandangan yang membantu raja agar dapat menyempurnakan amanah dengan adil, bertiangkan syariat dan bersendikan adat.
Semoga negeri Perak Darul Ridzuan di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah terus dilimpahi keberkatan, kesejahteraan dan kemakmuran. Mudah-mudah baginda diilhamkan dengan sebaik-baik ilmu pemerintahan seperti yang dikurniakan Allah SWT kepada Zulkarnain.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 November 2025, bertajuk “Keadilan Raja–Kasih Rakyat: Tunjang Kemakmuran Negeri”)