Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur ‒ Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah (SS) Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan ijtihad dan inovasi perlu menjadi tunjang kepada pembangunan sistem wakaf korporat global yang lestari dan berimpak tinggi.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas pembentangan bertajuk “Inovasi Wakaf Korporat Global: Ijtihad dan Aplikasi” oleh Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Aznan Hasan dalam Muzakarah Waqaf 2025 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut SS Ustaz Ahmad Fauwaz, Islam berkembang dengan dua sayap utama, iaitu jihad dan ijtihad yang menjadi nadi kekuatan dan kemajuan ummah.
“Jika masyarakat benar-benar mahukan kehidupan baharu, masyarakat mesti menyahut seruan perubahan; maka perubahan itu perlu bergantung pada pandangan kita terhadap ijtihad yang merupakan nadi ummah.
“Ijtihad merupakan sayap yang akan menjadikan umat Islam berkembang dan relevan dengan setiap zaman,” katanya.
SS Ustaz Ahmad Fauwaz menekankan bahawa masyarakat Islam tidak boleh jumud atau kaku dalam menghadapi cabaran moden, sebaliknya perlu memiliki imaginasi dan pemikiran kreatif untuk memperkasakan institusi wakaf.
“Kita mahu mengasaskan ijtihad dengan menggalakkan para pakar mengkaji tentang wakaf secara tuntas, baik dari sudut dalil, undang-undang, realiti mahupun maqasid syariah.
“Tanpa ijtihad, kita tidak mampu untuk bergerak ke hadapan,” tegasnya.
Katanya lagi, ijtihad bukan hanya terhad dalam ruang lingkup memahami kalam Allah SWT, bahkan mencakupi perbuatan dan ciptaan-Nya yang mengandungi pelbagai hikmah untuk diterokai oleh manusia.
Sehubungan dengan itu, manusia berperanan mentadabur ciptaan Allah SWT sebagai usaha untuk mencipta manfaat baharu yang membawa kebaikan kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, SS Ustaz Ahmad Fauwaz menyatakan, perbezaan antara mazhab dengan fatwa perlu difahami dengan mendalam kerana fatwa bersifat dinamik serta perlu disesuaikan dengan maslahah ummah dan realiti kehidupan.
“Mazhab tidak menyekat; dan kalau kita kaji, mazhab mempunyai roh yang memberikan taisir (kemudahan) dan maslahah,” jelasnya.
Dalam kajian beliau bersama-sama sebuah universiti tempatan, maslahah merupakan dalil syarii yang membolehkan manusia meninggalkan pandangan muktamad dalam mazhab apabila wujud keperluan yang mendesak.
Tuntasnya, SS Ustaz Ahmad Fauwaz menyokong pandangan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Aznan dalam pembentangannya serta menyeru ulama, ahli akademik dan pentadbir wakaf agar bekerjasama secara bersepadu bagi melahirkan model wakaf korporat global yang progresif dan lestari.
“Hal ini demi mencapai dua maksud kehidupan, iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT dan sebagai khalifah untuk membangunkan bumi,” ujarnya.
Turut hadir dalam konvensyen tersebut ialah Timbalan Mufti Johor, SS YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed; Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur Corporation Berhad, Tuan Haji Bukhari Abd Rahman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Azmi Omar; serta pemain industri wakaf.