Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) meraih dua anugerah berprestij bagi hartanah ikoniknya, Menara TH Tun Razak dan Menara Bank Islam dalam Anugerah Hartanah Terbaik dan Mampan The Edge Malaysia (BMSPA).
Anugerah ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan TH dalam pengurusan aset dan amalan kelestarian.
Dalam majlis anugerah itu, Menara TH Tun Razak dinobatkan sebagai pemenang kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata, manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur.
Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen TH dalam pengurusan aset secara profesional, berintegriti dan mampan, sekali gus memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta orang pendeposit.
“Dua pengiktirafan ini bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan pengurusan bangunan, malah mencerminkan komitmen TH dalam memenuhi standard terbaik dalam segala perkara yang dilakukan.
“Sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaik-baiknya agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara untuk jangka panjang,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kejayaan itu turut membuktikan keupayaan TH sebagai institusi yang telah banyak menerima pengiktirafan, dalam menggabungkan pengurusan aset yang matang dengan teknologi moden, pendigitalan dan amalan kelestarian selaras dengan standard terbaik industri.
Menara TH Tun Razak yang direka oleh arkitek terkenal Hijjas Kasturi dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sejak tahun 1985, terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan.
Hal ini termasuk menaik taraf kemudahan bangunan, sistem parkir tanpa tunai berasaskan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, peningkatan aspek keselamatan dan akses, serta perancangan pemasangan sistem solar sebagai sebahagian daripada Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun.
Menara Bank Islam pula terus menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan fasiliti menerusi penyelenggaraan proaktif, pemantauan berasaskan keadaan (condition-based monitoring) dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS, yang meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat masa respons serta mengoptimumkan pengurusan aset.
Kedua-dua bangunan ini diuruskan oleh TH Properties Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat milikan penuh TH.
Pendekatan yang dilaksanakan berjaya memastikan kebolehpercayaan sistem kritikal bangunan seperti bekalan air domestik, lif dan sistem pencegahan kebakaran, di samping menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus berbanding dengan garis asas tenaga yang diselaraskan melalui pelaksanaan sistem automasi bangunan, pengoptimuman operasi sistem penyaman udara, serta penggunaan lampu cekap tenaga.
Tan Sri Abdul Rashid berkata, pengiktirafan tersebut mengukuhkan komitmen TH untuk terus mempertingkatkan pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“TH akan terus memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi memastikan aset-aset strategik kekal berdaya saing serta mencipta nilai mampan kepada para pendeposit,” katanya.