Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 16:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang sebenar perlu berpaksikan nilai Islam, keadilan dan kemanusiaan dengan meletakkan martabat insan (karamah insaniah) sebagai asas utama dalam setiap dasar serta keputusan negara.

Berucap pada Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 bertemakan Reclaiming Humanity for Shared Prosperity di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, beliau berkata, dunia kini berdepan dengan krisis nilai apabila isu kemanusiaan semakin terhakis di sebalik kemajuan teknologi dan ekonomi.

Menurut beliau, kekejaman di Gaza, ketidakadilan sistem ekonomi global, perubahan iklim, serta peningkatan sentimen kebencian dan perkauman membuktikan bahawa dunia memerlukan pendekatan baharu yang mengembalikan manusia sebagai teras pembangunan.

“Topik kemanusiaan itu sangat tebal dalam korpus karya-karya besar Islam.

“Walaupun kita berbicara tentang hukum, syariah, ekonomi dan sistem kenegaraan, pangkalnya tetap membina manusia dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwah Islam yang berteraskan prinsip bi al-hikmah wa al-mau‘izah al-hasanah mengajar umat Islam mendekati masyarakat dengan hikmah dan kebijaksanaan, sekali gus menjadikan nilai kemanusiaan sebagai asas bagi menangani perbezaan agama, kaum dan pandangan.

Menurut beliau, peningkatan kesedaran beragama dalam masyarakat perlu diterjemahkan kepada usaha memperjuangkan keadilan sejagat, bukannya dijadikan alasan untuk mempertahankan sentimen tertentu.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar berkata, konsep Ekonomi MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi, malah bertujuan untuk memulihkan nilai moral dalam tadbir urus negara.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan terus memacu kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, peralihan tenaga dan strategi semikonduktor, namun semua dasar tersebut perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan prinsip keadilan, ihsan dan kesejahteraan rakyat.

“Ekonomi ialah satu wasilah, bukannya matlamat.

“Tujuannya lebih daripada tindakan menghasilkan angka pertumbuhan yang lebih tinggi atau pengumpulan kekayaan, serta membolehkan manusia hidup dengan maruah, keselamatan, harapan dan tujuan,” katanya.

YAB Dato’ Seri Anwar turut mengingatkan bahawa setiap dasar kerajaan perlu dinilai berdasarkan sama ada dasar tersebut meluaskan peluang kepada rakyat, mengukuhkan institusi keluarga dan masyarakat, serta memartabatkan manusia, bukannya sekadar menjadikan mereka alat pengeluaran ekonomi.

Mengulas tanggungjawab umat Islam terhadap pembangunan negara, Perdana Menteri berkata, konsep khalifah fi al-ard mengingatkan manusia bahawa mereka memikul amanah Allah SWT untuk memelihara alam, masyarakat, serta masa hadapan generasi akan datang.

Beliau turut menyeru para pendidik, ulama, penjawat awam, usahawan dan golongan belia agar memainkan peranan masing-masing dengan penuh integriti dan amanah bagi membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

“Ekonomi manusiawi yang kita cita-citakan ialah ekonomi yang mampu mencipta kekayaan tanpa kehilangan hikmah; berinovasi tanpa meninggalkan sifat ihsan; bersaing tanpa memusnahkan solidariti; dan berkembang tanpa meninggalkan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan tujuan moral boleh bergerak seiring, sekali gus menjadi contoh kepada ASEAN dan negara-negara Selatan Global dalam usaha membina pembangunan yang lebih adil, berteraskan nilai dan menghormati martabat insan.

HEGD 2026 berlangsung pada 22 hingga 23 Julai 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, WTCKL, anjuran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Yayasan Hasanah. 

Forum tersebut menghimpunkan tokoh akademik, pemikir, penggubal dasar serta pemain industri bagi membincangkan pendekatan ekonomi yang menekankan keseimbangan antara kemajuan material, nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan tanggungjawab moral dalam pembinaan kesejahteraan bersama.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi