Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf, serta cegahlah (mereka) daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya, perkara itu merupakan urusan yang perlu diambil berat dengan penuh keazaman.”
(Surah Luqman 31:17)
Istilah remaja merujuk golongan yang berusia dari 13 hingga 19 tahun, iaitu sebuah fasa usia peralihan daripada zaman kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Dalam lingkungan usia ini, remaja lazimnya mengalami perubahan dari segi fizikal, emosi, kecenderungan dan minat kepada sesuatu yang baharu serta daya fikir yang berkembang aktif. Oleh itu, remaja perlu dibentuk dan dipupuk dengan sahsiah terpuji agar negara melahirkan bakal pemimpin yang berilmu, beriman, ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Apabila menginjak usia remaja, perkembangan hormon menyebabkan berlakunya perubahan watak dan sifat, iaitu perasaan mahu mencuba, keinginan mencari identiti diri, lonjakan nafsu seksual, perasaan ingin bercinta dan kadang kala sifat memberontak demi memperoleh kebebasan sehingga terjerumus melakukan perbuatan yang bercanggah dengan adat, adab serta nilai manusiawi.
Pelbagai isu keruntuhan akhlak remaja pada hari ini seperti ponteng sekolah, lumba haram, buli, merokok dan menghisap vap (rokok elektronik), penyalahgunaan dadah, melayari kandungan lucah, pergaulan bebas dan rogol menandakan krisis kemerosotan nilai sedang berlaku. Remaja yang terbiar tanpa sentuhan kasih sayang serta asuhan yang memupuk peribadi mereka dengan nilai Islam, dikhuatiri akan hidup tanpa panduan ilmu, kehilangan arah dan akhirnya tersalah haluan.
Malah, mereka yang tersilap memilih rakan, terjebak dengan salah laku, rosak rohaninya dan bergelora emosinya disebabkan terpengaruh dengan perkara yang bercanggah dengan syarak, adat dan adab. Akibatnya, negara mewarisi generasi yang lemah jiwanya, modal insan yang tidak berintegriti dan bakal pemimpin yang rosak akhlaknya.
Ayat 17 Surah Luqman menggambarkan prinsip pendidikan anak yang diamalkan oleh seorang bapa bernama Luqman al-Hakim. Dalam ayat itu, beliau menekankan tiga asas utama dalam pendidikan, iaitu akidah, ibadah dan adab. Luqman al-Hakim menanam akidah yang kukuh dalam diri anaknya dengan menyeru agar mendirikan solat, kemudian disusuli pembinaan sahsiah dengan mengajar anaknya sentiasa berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, selain sabar menghadapi segala ujian dan cabaran kehidupan. Sebelum itu, ayat 16 Surah Luqman mengungkapkan bahawa setiap perbuatan sama ada baik atau buruk walaupun hanya sebesar biji sawi, tetap akan dihitung dan diadili oleh Allah SWT pada hari akhirat.
Didikan menyemai akidah, ibadah dan adab merupakan asas pembentukan anak soleh yang bertakwa. Menerusi pendidikan ini, tersemai keyakinan tauhid yang teguh, kepatuhan kepada Allah SWT, jati diri yang murni, kecenderungan melakukan kebaikan, gusar mendekati perkara yang syubhah serta takut menghampiri hal yang haram. Peranan ibu bapa sangat penting dalam hal ini. Mereka perlu menjadi teladan, mendidik, membimbing dan mencorakkan nilai, pemikiran, sifat dan watak anak sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
![]()
Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), lalu kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani dan Majusi.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Remaja kini berhadapan dengan pelbagai ujian yang sangat mencabar. Internet, media sosial, aplikasi mudah alih, budaya hedonisme (hiburan) yang melampau serta pengaruh rakan sebaya menyebabkan mereka mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan anasir yang merosakkan diri. Masa hadapan mereka amat bergantung pada acuan yang kita sediakan pada hari ini.
Sahsiah remaja merupakan penanda aras kemajuan sesebuah negara. Masalah moral remaja wajib diberikan perhatian serius oleh pelbagai pihak. Sudah tiba masanya kita bermuhasabah terhadap kelompangan dalam pendekatan pendidikan yang sedia ada. Suatu kaedah pendidikan yang saling menyokong perlu diwujudkan untuk membentuk generasi akan datang. Ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan, agamawan, masjid dan badan bukan kerajaan berganding bahu memupuk sahsiah remaja demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Sehubungan dengan itu, dalam hasrat dan usaha melahirkan remaja sebagai permata yang berharga, umat Islam perlu mengambil perhatian terhadap beberapa perkara yang berikut:
Pertama: Para remaja hendaklah berazam menjadi pelapis negara yang memiliki nilai yang tinggi. Tingkatkan ilmu dan kemahiran, amalkan akhlak mulia dan jalani kehidupan dengan niat beribadah kerana Allah SWT. Sesungguhnya antara tujuh golongan yang mendapat naungan-Nya pada hari akhirat termasuklah pemuda yang hidupnya beribadah kepada Allah SWT.
Kedua: Keluarga berperanan menerapkan akidah yang kukuh kepada anak. Amalan kerohanian seperti solat berjemaah, bertadarus dan bertadabur al-Quran perlu dibudayakan di rumah. Akidah yang teguh kepada Allah SWT akan mengupayakan anak menjalani kehidupan yang diredai, selain dapat menjauhi kehidupan yang merosakkan.
Ketiga: Institusi pendidikan mesti mengolah pendekatan yang berkesan bagi menyemai sifat jujur, ikhlas, sopan, amanah, berdisiplin, hormat-menghormati, menepati masa, memenuhi janji, berjimat cermat, tidak membazir, cintakan ilmu dan kebaikan.
Keempat: Mendampingi remaja dengan belaian kasih sayang, menegur mereka secara berhikmah, membentuk dengan harapan, membimbing dengan panduan, menyelami dengan perbincangan, marah yang tidak menghina dan menegur yang tidak mengaibkan. Pendekatan kasih sayang mempengaruhi sokongan psikologi dan perkembangan emosi anak, membuatkan mereka berasa dihargai serta membina keyakinan diri yang positif.
Kelima: Ibu bapa dan penjaga perlu memantau penggunaan peranti dan media sosial anak dengan memberikan bimbingan dan kawalan sewajarnya untuk melindungi mereka daripada terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka.
Keenam: Galakkan dan berikan dorongan kepada remaja untuk melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan yang mampu membina keyakinan diri, memperkukuh keilmuan dan kemahiran. Dengan pelibatan dalam aktiviti sedemikian, mereka menjadi khazanah berharga yang menyumbang kepada kemajuan negara.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 31 Oktober 2025, bertajuk “Memupuk Sahsiah Remaja”)