Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

 

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat mereka.”

(Surah al-Mukminun 23:1–2)

Solat dari sudut makna bahasa ialah doa, manakala dari segi istilah syarak bermaksud beberapa perbuatan dan bacaan yang dimulai dengan takbiratulihram dan diakhiri dengan salam berdasarkan rukun dan syarat tertentu. Solat lima waktu sehari semalam merupakan ibadah utama yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu Muslim.

Solat umpama tiang agama dan menjadi ibadah pertama yang bakal dihisab pada hari kebangkitan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia beroleh kejayaan dan keberuntungan. Jika solatnya buruk, maka dia akan kecewa dan mendapat kerugian.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Lazimnya, golongan yang menunaikan solat terbahagi tiga keadaan seperti yang berikut:

Pertama: Solat yang dikerjakan bukan kerana Allah SWT, sebaliknya dilakukan untuk tujuan peribadi seperti mendambakan pujian atau menunjuk-nunjuk kepada manusia. Keadaan ini merupakan sifat solat orang munafik yang wajib dijauhi.

Kedua: Solat yang dilaksanakan dalam keadaan lalai dan tidak disempurnakan dengan baik. Golongan ini tidak mengambil berat terhadap kewajipan solat, hanya menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha serta solat fardu Jumaat, tetapi meninggalkan solat fardu yang diwajibkan. Solat dilakukan sekadar ikut-ikutan, tergesa-gesa tanpa memahami dan menghayati falsafah serta matlamat solat. Solat sebegini tidak memberikan kesan perubahan dalam diri, tidak membawa kebaikan dalam kehidupan, malah dibimbangi tidak mampu mencegah pelakunya daripada melakukan maksiat.

Ketiga: Solat yang dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Golongan ini sentiasa mengutamakan solat pada awal waktu, menunaikannya dengan penuh kefahaman dan penghayatan, menghadirkan perasaan rendah diri di hadapan keagungan Ilahi, serta menyerahkan seluruh kehidupan kepada kehendak Allah SWT sebagaimana tubuhnya tunduk sujud ketika bersolat. Inilah ciri solat yang mendatangkan kejayaan dalam kehidupan insan.

Sehubungan dengan itu, ayat 1 dan 2 dalam Surah al-Mukminun mengisyaratkan bahawa solat yang dilakukan dengan khusyuk serta penuh penghayatan menjadi kunci untuk meraih kejayaan hidup.

Sesungguhnya, solat ialah pemangkin kejayaan. Solat mengukuhkan hubungan seorang hamba dengan Penciptanya dan membuktikan kepatuhan terhadap perintah Ilahi, selain menjadikan hati dan akal diterangi cahaya iman. Solat juga mempengaruhi corak kehidupan, membimbing jiwa cenderung untuk menggandakan amal kebaikan, serta menjadi benteng dan pelindung yang mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut 29:45)

Apabila seseorang berjaya menghindari diri daripada perbuatan maksiat, keji dan mungkar, hal ini menandakan bahawa solat telah meluruskan perjalanan hidupnya, seiring dengan seruan hayya ‘ala al-falah yang menggesa manusia agar menuju kejayaan dalam laungan azan. Mukmin yang memelihara ibadah solat akan memperlihatkan kemurnian akhlak dan keindahan perilaku dalam kehidupannya.

Kesan solat yang sempurna dapat dilihat melalui pertuturan yang berhemah, gaya fikir yang matang, kestabilan jiwa dan emosi, sifat sabar serta kemampuan mengawal kemarahan. Mereka juga gemar beramal, mendukung kebenaran, mesra dalam pergaulan, bijak mengurus waktu dan sentiasa menonjolkan sifat terpuji.

Orang yang bijak mengurus waktu merupakan ciri individu yang berjaya dalam hidup. Istiqamah melazimkan solat pada awal waktu, di samping bijak mengurus waktu untuk urusan kerja, keluarga dan ibadah, mencerminkan keperibadian yang berdisiplin, produktif dan berprinsip. Lebih terpuji apabila seseorang itu berusaha melapangkan masa untuk menunaikan solat secara berjemaah, sama ada dengan ahli keluarga di rumah mahupun di masjid atau di surau.

Allah SWT menjanjikan limpahan rahmat dan hidayah serta kejayaan kepada mereka yang sentiasa mengutamakan Tuhannya dalam kehidupan. Oleh itu, umat Islam hendaklah mengambil perhatian terhadap beberapa perkara berikut agar pelaksanaan ibadah solat pada setiap hari benar-benar memberikan kesan dalam pembinaan sahsiah, selaras dengan hikmah dan tujuan pensyariatannya.

Pertama: Solat ialah ibadah paling utama yang memelihara keseluruhan ibadah lain. Ibadah ini wajib dipelihara dan dikerjakan dengan sempurna. Solat merupakan kesempatan terbaik untuk insan memohon keampunan dan pertolongan, merintih penyesalan, mengadu kelemahan, mengharapkan kekuatan dan petunjuk bagi memperoleh keredaan Ilahi, di samping meminta agar dikurniakan sirat al-mustaqim (jalan yang lurus).

Kedua: Solat merupakan masa yang terbaik daripada keseluruhan waktu kerana amalan ini menghubungkan diri manusia dengan Allah SWT secara langsung. Usah terburu-buru melaksanakannya. Hadirkan sepenuh jiwa dan perasaan, serta berikan tumpuan pada bacaannya seumpama kita menghadap Allah SWT. Solat yang dikerjakan dengan penuh ketenangan menghadirkan kekhusyukan dan mendatangkan lebih kebaikan.

Ketiga: Tiada panggilan yang lebih utama daripada panggilan Ilahi pada saat azan berkumandang. Tangguhkan segala urusan dunia dan urusan peribadi, utamakan seruan solat dan bersegeralah menuju ke rumah Allah SWT agar kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jangan sekali-kali kita menangguhkan tanggungjawab melaksanakan solat lantaran di sebaliknya suatu amanah besar yang dituntut sebagai bukti seorang penganut yang beriman.

Keempat: Andai ada solat fardu yang pernah ditinggalkan sebelum ini, segeralah menggantikannya kerana solat yang ditinggalkan dianggap sebagai suatu hutang kepada Allah SWT yang wajib dilunaskan.

Kelima: Ibu bapa wajib membimbing anak mendirikan solat dengan sempurna dan mendidik mereka supaya mengutamakannya dalam kehidupan harian. Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Bimbing dan didik anak bersolat apabila mencecah usia tujuh tahun dan sekiranya masih enggan mendirikan solat setelah mencecah usia 10 tahun, tegurlah mereka dengan tegas dengan memukul untuk tujuan mendidik.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Oktober 2025, bertajuk “Solat Pemangkin Kejayaan.”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi