Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 07:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zulhilmi Shalehuddin melaporkan sesi Bicara Mufti yang menampilkan perkongsian oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar dalam Program Multaqa Ulama pada 15 Oktober 2025 di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka.


Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar dalam Program Multaqa Ulama pada 15 Oktober 2025.

Bermula sebagai sebuah negeri minoriti Muslim, iaitu sekitar 37.9 peratus pada era awal kemerdekaannya, Sabah dengan perkembangan dakwah yang aktif menjadikannya kini mempunyai penduduk majoriti beragama Islam.

Menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi Muslim di Sabah mencecah 69.6 peratus daripada jumlah keseluruhan 3 418 785 orang. Peningkatan jumlah itu sebahagian besarnya hasil daripada proses pemelukan Islam (religious conversion), perkahwinan dan penghijrahan.

Latar Belakang Islamisasi di Sabah

Sabah pada asalnya tidak mempunyai agama negeri dan bersifat sekular. Namun, segala-galanya berubah setelah sedekad penyertaan Sabah dalam Persekutuan Malaysia apabila berlaku gerakan islamisasi besar-besaran semasa kepimpinan Ketua Menteri Sabah ke-3, Tun Datu Mustapha Datu Harun (1967–1975) yang giat menerajui kegiatan dakwah, selain mengetuai gerakan politik.

Beliau turut mendapatkan bantuan dan nasihat daripada Syeikh Haji Muhammad Nasir (Pak Nasir) yang merupakan tokoh ulama berpengaruh dalam al-Jam‘iyatul Wasliyah, iaitu sebuah organisasi besar Islam di Medan, Sumatera Utara. Para pendakwah al-Wasliyah dihantar ke kawasan pedalaman Sabah pada akhir tahun 1960-an hingga awal tahun 1970-an untuk membantu penyebaran Islam, dan kesinambungan usaha tersebut kekal sehingga hari ini.

Tatkala kedudukan Islam mula mendapat tempat dalam kalangan penduduk dengan peningkatan penganut Muslim mencapai hampir 50 peratus pada tahun 1973, Tun Datu Mustapha mengambil langkah besar meminda Perlembagaan Negeri Sabah dengan memasukkan Fasal 5A, menjadikan Islam sebagai agama negeri.

Berdasarkan Perkara 43(2) Perlembagaan Negeri Sabah, sebarang pindaan terhadap peruntukan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti lebih dua pertiga dari ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Menariknya, pindaan ini berjaya diluluskan walaupun satu pertiga daripada ahlinya bukan Islam, dan peruntukan itu masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

Kedudukan Islam Aliran Ahli Sunah Waljamaah di Sabah

Pejabat Mufti Negeri Sabah telah mengambil inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan Islam dalam Fasal 5A, Perlembagaan Negeri Sabah melalui pentafsiran agama Islam berdasarkan aliran Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) melalui Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2016 yang bersidang pada 24 hingga 26 Mei 2016.

Pentafsiran tersebut merujuk kelompok majoriti umat Islam yang berpegang pada mazhab akidah Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari (al-Asha‘irah) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (al-Maturidiyah), mazhab fiqah Syafii, di samping meraikan tiga mazhab utama yang lain, serta tasawuf berlandaskan manhaj Imam al-Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Pada tahun 2019, Sabah mencatat sejarah apabila fatwa tersebut diangkat dalam DUN Sabah melalui pembentangan pindaan Seksyen 2, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 oleh Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah ketika itu, YB Datuk Haji Aidi Moktar, yang memasukkan takrif agama Islam dan definisi ASWJ dalam perundangan negeri. Bahkan, pindaan tersebut diluluskan dengan sokongan majoriti ahli DUN walaupun komposisinya seimbang antara ahli yang beragama Islam dengan bukan Islam.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar berpandangan bahawa pengikatan fatwa sebegini penting dilaksanakan pada peringkat negeri. Insiden pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 menjadi hikmah besar dan memberikan justifikasi kukuh terhadap pindaan tersebut agar umat Islam di Sabah mengamalkan akidah wasatiyah (sederhana) dan bukannya ghuluw (ekstremis).

Menurut laporan pihak anggota keselamatan, sebahagian daripada penceroboh berkenaan mempunyai aliran pemikiran salafi jihadi, yang menganggap mana-mana pemerintah Muslim tidak melaksanakan hukum Islam sepenuhnya telah terkeluar daripada millah (agama) dan harus diperangi.

(Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Jengka, 15 Oktober 2025)

Usaha pengukuhan aliran ASWJ melalui saluran legislatif ini bermatlamat membendung kecenderungan segelintir masyarakat yang menjadikan persoalan khilafiah dan furumasail (masalah ranting) sebagai perkara usul (dasar) dalam agama, sehingga menimbulkan sikap tidak bertolak ansur dan saling menyesatkan kepada sesiapa yang tidak sealiran dengan gelaran al-mubtadi‘ (ahli bidaah).

Faktor geografi Sabah yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia menjadikan negeri ini terdedah kepada pengaruh luar, termasuk fahaman yang berbahaya. Gerakan tabdi‘, tadhlil dan takfir yang keras serta ekstrem merupakan masalah besar yang boleh menghancurkan masyarakat. Umat Islam akan menjadi berantakan dan berpecah bukan kerana perbezaan politik, tetapi akibat berlainan tafsiran agama.

Strategi Dakwah di Sabah menerusi Penetapan Fatwa

Sabah merupakan sebuah negeri rencam dengan 33 kumpulan peribumi yang menggunakan lebih daripada 50 bahasa serta kira-kira 80 dialek etnik. Menyedari kerencaman ini, pendekatan dakwah di Sabah perlu disesuaikan dengan konteks dan realiti masyarakat setempat.

Penetapan fatwa yang meraikan kepelbagaian penting agar potensi dan momentum dakwah Islam pada hari ini dapat dikembangkan lagi pada masa hadapan. Walaupun Islam menjadi agama negeri, pendekatan dasar Islam di Sabah terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu:

i) Pendirian usul akidah

Aspek akidah tidak melibatkan sebarang tolak ansur dan tiada kompromi (tasamuh). Sebagai contoh, isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam. Meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 telah memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1986 mengenai larangan penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam tidak sah dengan merujuk kes Jill Ireland, keadaan ini tidak bermakna Sabah turut terkesan dan membenarkannya.

Dakwaan keputusan mahkamah ini tidak terpakai di Sabah kerana kalimah tersebut telah lama diamalkan oleh masyarakat bukan Islam tidak benar sama sekali. Sebaliknya, fatwa negeri Sabah bertarikh 1 Jun 2003 menetapkan larangan penggunaan 32 istilah Islam, termasuk kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam sebelum diwartakan pada 11 Disember 2003.

Selama hampir 22 tahun, masyarakat bukan Islam di Sabah menerima ketetapan ini tanpa sebarang bantahan walaupun diakui isu ini sensitif. Fatwa tersebut masih berkuat kuasa sehingga kini, sejajar dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang menegaskan bahawa kalimah “Allah” ialah hak eksklusif umat Islam bagi mengelakkan unsur penyalahgunaan.

ii) Pengamalan fiqah

Sabah mengamalkan qaul muktamad dalam mazhab Syafii sebagai mazhab utama, namun tetap terbuka meraikan waqi‘ (realiti setempat). Keterbukaan ini bertujuan memelihara keharmonian dengan masyarakat bukan Islam, di samping menunjukkan Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.

Misalnya, Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 1/2017 yang bersidang pada 21 hingga 23 Februari 2017 memutuskan bahawa harus mendirikan solat Jumaat walaupun bilangan jemaahnya kurang 40 orang berdasarkan qaul qadim dalam mazhab Syafii. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya perlu mendapatkan keizinan pemerintah atau pihak berkuasa demi memelihara kepentingan dan maslahat ummah.

Fatwa ini ditetapkan bagi meraikan keadaan di kawasan pedalaman Sabah yang mempunyai penduduk Muslim bermastautin kurang daripada 40 orang. Situasi tersebut mengambil kira iman mereka yang baru memeluk Islam, jarak tempat tinggal yang jauh dari masjid dan persekitaran masih majoriti orang bukan Islam. Pendekatan ini membantu masyarakat Islam pedalaman agar tidak meninggalkan solat Jumaat secara berterusan, sekali gus memperkukuh perpaduan umat.

Selain itu, muzakarah fatwa yang sama turut mengharuskan “ucapan selamat” kepada orang bukan Islam bersempena dengan perayaan agama mereka, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama lain, serta tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan mereka.

Demikian juga beberapa fatwa lain bagi menyantuni komuniti Muslim dan bukan Islam di Sabah, termasuk kebenaran mengagihkan daging korban kepada bukan Islam kerana keadaan masyarakat di negeri itu yang berlainan agama dalam sebuah keluarga. Untuk menyantuni hal ini, pandangan ulama yang mengharuskannya digunakan supaya ibadah korban menjadi wasilah dakwah kepada ahli keluarga bukan Islam dapat melihat kebaikan Islam.

Oleh itu, perkembangan Islam di Sabah pada hari ini merupakan hasil gabungan strategi berasaskan dasar perlembagaan, pelaksanaan fatwa dan pengamalan fiqah yang pragmatik, sejajar dengan realiti masyarakat berbilang kaum. Pendekatan ini menekankan aliran berteraskan ASWJ, sambil meraikan situasi setempat.

Fatwa yang memiliki unsur keterangkuman, adaptif dan toleran, menyantuni mereka yang bukan Islam, menjadikan Islam diterima secara meluas di Sabah tanpa berlaku konflik sosial. Keberhasilan ini menjadikan Islam di Sabah terus berkembang secara lestari dan menyemai persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan budaya. Tidak mustahil risalah Islam ini mampu melahirkan jumlah penganutnya sehingga 80 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri dalam tempoh 10 tahun akan datang.


Penulis merupakan pegawai Eksekutif Bahasa di Dewan dan Bahasa Pustaka. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar’iyyah) dari Universiti Malaya.

Kredit Foto: Khairul Azhar dan Facebook Hajiji Haji Noor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi