Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZulhilmi Shalehuddin melaporkan sesi Bicara Mufti yang menampilkan perkongsian oleh Sahibus Samahah Mufti Pahang, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim dalam Program Multaqa Ulama pada 15 Oktober 2025 di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka.
Saya ingin sekali lagi menasihatkan para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok supaya sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan dasar yang diputuskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bagi tujuan memenuhi amanat saya tersebut. Antara dasar pemerkasaan pusat tahfiz, madrasah dan pondok yang sedang berjalan ketika ini termasuklah:
Perlaksanaan pemerkasaan pengajian fardu ain berkitab berteraskan akidah Ahli Sunah Waljamaah (al-Asya‘irah dan al-Maturidiyah), fiqah mazhab Syafii dan tasawuf Imam al-Ghazali di semua pusat tahfiz, madrasah dan pondok, termasuk masjid dan surau di Pahang.

Pelaksanaan dasar agama Islam di Pahang tidak berlaku secara terasing (in silo), sebaliknya melibatkan usaha daripada pelbagai pihak. Pendekatan sinergi antara institusi agama negeri amat penting agar selaras dengan aspirasi pentadbiran Islam yang berteraskan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) serta berpaksikan amanat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Sinergi Entiti Utama dalam Pelaksanaan Dasar ASWJ
Pelaksanaan dasar Islam berlandaskan aliran ASWJ di Pahang diterajui oleh empat entiti utama yang berada di bawah Kerajaan Negeri Pahang, iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Mufti Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), masing-masing memainkan peranan saling melengkapi.
i) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
Institusi ini mempunyai bidang kuasa mengawal selia tauliah pengajaran agama Islam di Pahang serta penyampaian ilmu agama berpaksikan aliran ASWJ. Penubuhan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) di bawah MUIP turut menjadi wadah yang memelihara kesinambungan pengajaran dan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap aliran ASWJ.
ii) Jabatan Mufti Negeri Pahang
Badan autoritatif ini tidak bergerak secara bersendirian walaupun fungsinya berkaitan dengan dasar hukum syarak. Sebarang keputusan dalam penentuan isu akidah, syariah dan tasawuf daripada jabatan ini memerlukan kerjasama erat MUIP dan JAIP bagi mendukung pelaksanaannya.
iii) Jabatan Agama Islam Pahang
Sebagai agensi pelaksana utama, JAIP dengan kekuatan lebih daripada 1000 orang kakitangan bertanggungjawab terhadap pengamalan dasar hukum syarak yang telah ditetapkan oleh jabatan mufti.
iv) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco)
Tugas bagi portfolio hal ehwal agama adalah untuk mengangkat dan memartabatkan kedudukan Islam aliran ASWJ melalui saluran perundangan (legislatif) dan pentadbiran kerajaan negeri secara langsung.
Gabungan keempat-empat entiti ini menekankan prinsip kolaborasi institusi dan membentuk rantaian penginstitusian ASWJ yang menyeluruh dan berkesan bermula dari peringkat dasar sehingga proses pelaksanaan.
Kolaborasi ini turut diperluas kepada pertubuhan bukan kerajaan seperti Ikatan Madrasah Pahang (IMP), yang menghimpunkan madrasah dan pondok dari seluruh negeri. IMP bekerjasama dengan MUIP dalam penggubalan sukatan pengajian bersepadu bagi semua pondok dan madrasah, sama ada aliran Melayu mahupun aliran Arab. Inisiatif yang mula digerakkan semasa zaman Mufti Negeri Pahang ke-8, Sahibus Samahah Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Osman, diteruskan secara progresif hingga hari ini.
Pengukuhan Dasar ASWJ dalam Perundangan Negeri
Dari sudut perundangan Islam, dasar pegangan ASWJ telah lama diinstitusikan dalam peraturan negeri. Seksyen 41, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Pahang 1991 menetapkan bahawa pengeluaran fatwa di negeri itu hendaklah mengikut qaul muktamad mazhab Syafii, dengan kelonggaran merujuk qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali apabila terdapat keperluan awam.
Peruntukan ini diperkukuh menerusi Seksyen 2, Kaedah-Kaedah Perakuan Kebenaran Pengajar Agama Islam (Pahang) 2017 yang mentakrifkan ASWJ sebagai golongan yang berpegang pada al-Quran dan sunah menurut aliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiyah serta mengutamakan qaul muktamad mazhab Syafii.
Setelah itu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 25 November 2024 memutuskan bahawa aliran ASWJ yang diamalkan di negeri itu ialah al-Asya‘irah dan al-Maturidiyah sebelum diwartakan pada 25 Mac 2025.
Pewartaan ini menjadikan Pahang antara negeri yang secara rasmi memperincikan aliran akidah dalam struktur pentadbiran agamanya. Sehubungan dengan itu, penegasan terhadap aliran ini dibuat rentetan daripada tiga matlamat utama:
Pertama: Penentuan Manhaj
Penetapan manhaj pegangan penting untuk mengetahui tafsiran nas agama yang dianuti dan ajaran yang diamalkan oleh umat Islam. Manhaj ASWJ yang dimaksudkan ialah jalan yang mengikut Nabi Muhammad SAW dan jalan jemaah, iaitu para sahabat, tabiin serta tabi tabiin.
Kedua: Penentuan Pendukung dan Pengikut
Pengikut aliran Imam Abu al-Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi merupakan sebahagian daripada pendukung ASWJ, berpegang teguh pada hujah al-Quran dan sunah dengan tafsiran para ulama muktabar yang bersanad, bukan berdasarkan akal semata-mata.
Ketiga: Melahirkan Masyarakat yang Terangkum
Aliran ASWJ menekankan tentang kesatuan umat Islam yang terangkum dari segi keislaman, keimanan dan keihsanan berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
Kita sebenarnya terbuka dengan mazhab ASWJ yang lain, cuma penegasan aliran ini adalah untuk mengelakkan pergaduhan dalam perkara furuk yang menyebabkan kita banyak buang masa.
Fatwa di Pahang juga mengambil pandangan mazhab lain jika terdapat keperluan, walaupun kita berpegang pada mazhab Syafii secara asas, khususnya dalam persoalan ibadah.
Kita juga mahu pengamalan tasawuf yang murni di negeri ini mengikut aliran Imam al-Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, bukan tasawuf yang ada syatahat (melampaui batas).
(Sahibus Samahah Mufti Pahang, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, Jengka, 15 Oktober 2025)
Pewartaan Ciri ASWJ di Pahang
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang telah mengambil pendekatan memperincikan takrifan ASWJ walaupun sudah dinyatakan oleh para ulama pada asalnya. Terdapat 14 ciri utama ASWJ yang telah diwartakan seperti yang berikut:
Sebagai langkah pendidikan awam, pewartaan ciri ini bakal dihebahkan kepada khalayak dalam bentuk poster bercetak, yang akan diedarkan pada lebih 600 buah masjid dan surau di seluruh negeri. Pada masa yang sama, setiap kadi daerah bertanggungjawab memastikan pelaksanaan hebahan tersebut bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap akidah ASWJ.
Tuntasnya, pemerkasaan aliran ASWJ di Pahang pada hari ini berteraskan prinsip sinergi institusi. Hubungan kukuh antara MUIP, JAIP, Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan telah membentuk sebuah ekosistem pentadbiran agama yang tersusun, autoritatif dan berwibawa.
Langkah penginstitusian doktrin ASWJ melalui dasar, perundangan dan pewartaan rasmi membuktikan kesungguhan Pahang memperkukuh akidah umat dan memastikan kestabilan Islam sebagai asas perpaduan negeri. Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja mengukuhkan legitimasi agama dalam perundangan, bahkan menjadi model pengurusan Islam negeri yang berpandukan tradisi keilmuan muktabar.
Penulis merupakan pegawai Eksekutif Bahasa di Dewan dan Bahasa Pustaka. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar’iyyah) dari Universiti Malaya.