Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mengapakah kamu tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang lemah (tertindas) daripada golongan lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah), yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari sisi-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari sisi-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).’”

(Surah al-Nisa 4:75)

Pada 31 Ogos 2025, misi bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla telah digerakkan bagi membawa bekalan makanan, pakaian, susu bayi dan ubat-ubatan. Misi ini berazam memecah kepungan dan sekatan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza yang sekian lama ditindas secara kejam oleh rejim Zionis Israel.

Sebanyak 50 buah kapal dengan penyertaan hampir 500 orang sukarelawan dan aktivis kemanusiaan daripada 44 buah negara, termasuk 23 orang rakyat Malaysia telah berlayar merentasi Laut Mediterranean menuju ke perairan Gaza demi memenuhi satu matlamat mulia, iaitu mahu menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Misi ini berjaya mencelikkan mata dunia tentang kezaliman berterusan rejim Zionis Israel melakukan jenayah melalui penjajahan, penindasan dan pencabulan hak asasi manusia di bumi Palestin yang bertentangan dengan nilai manusiawi.

Sukarelawan Global Sumud Flotilla mewakili suara kemanusiaan dari seluruh dunia tampil membawa mesej solidariti setelah menyaksikan penderitaan demi penderitaan yang menimpa rakyat Palestin tanpa sebarang pembelaan berkesan daripada badan-badan antarabangsa untuk mengekang rejim Zionis yang terus bermaharajalela.

Malangnya, misi kemanusiaan tersebut disekat dan dipintas oleh tentera Israel sebelum sempat tiba ke destinasi. Para sukarelawan tetap ditahan meskipun mereka tidak membawa sebarang senjata dan bukan berlayar dengan kapal perang. Mereka hanyalah membawa hasrat kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada warga emas yang uzur dan anak-anak kecil yang kelaparan.

Ayat 75 Surah al-Nisa menjadi sumber kekuatan yang membangkitkan semangat untuk kita terus berjuang membela kebenaran, mempertahankan agama dan menunjukkan kebersamaan terhadap insan lemah yang ditindas. Kewajipan dalam agama ini menyarankan kita agar tidak berdiam diri tatkala melihat penderitaan yang ditanggung oleh saudara kita di Gaza.

Gerakan misi kemanusiaan, bantuan kewangan serta sebarang bentuk sumbangan merupakan usaha terpuji dan amat dialu-alukan. Perkara ini melambangkan sokongan dan perpaduan ummah untuk membela nasib golongan yang ditindas. Kini, saudara kita di Gaza sedang menderita kelaparan tanpa makanan, kehausan tanpa air dan kesakitan tanpa ubat. Keperluan ubatan tidak mencukupi, manakala hospital, kelengkapan dan prasarana perubatan telah dimusnahkan.

Selama 77 tahun, rakyat Palestin terus hidup dalam penindasan, menjalani kehidupan bagaikan berada di dalam penjara, dikelilingi tembok tinggi yang diawasi oleh tentera Israel. Banyak yang ditahan tanpa dibicarakan dan anak-anak menjadi yatim, isteri menjadi balu akibat perbuatan zalim Zionis Israel. Rejim ini semakin hari kejam dan zalim.

Sejak tragedi 7 Oktober 2023, lebih daripada 63 746 orang rakyat Palestin terkorban dan sebahagian besar daripadanya ialah warga emas, wanita dan kanak-kanak. Rakyat Palestin dinafikan hak untuk hidup sebagai rakyat di bumi merdeka. Mereka dipaksa berpindah ke sempadan Rafah, dihalang daripada mencari hasil laut, malah disekat daripada menerima bantuan kemanusiaan bagi memenuhi keperluan asas kehidupan.

Sekalipun begitu, rakyat Palestin tetap teguh dan tidak berganjak. Mereka tidak rela berundur meninggalkan bumi Palestin, iaitu tanah yang mereka warisi turun-temurun. Mereka cekal mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan meyakini bahawa Allah SWT bersama-sama dengan golongan yang benar dan sabar. Pembebasan bumi suci itu merupakan janji Ilahi yang pasti tiba.

Derita yang dialami oleh umat Islam Palestin seharusnya menginsafkan dan menjadi pengajaran berharga buat kita bahawa tanggungjawab kemanusiaan tidak boleh dipandang ringan. Umat Islam memikul tanggungjawab fardu kifayah ini untuk menunjukkan kebersamaan dengan tampil menghulurkan bantuan agar dapat meringankan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, berpandukan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu mengambil perhatian terhadap lima perkara berikut sebagai bukti bahawa kita tidak berpaling daripada nasib saudara kita di Gaza yang sedang berjuang mempertahankan maruah mereka:

Pertama: Umat Islam perlu menyelami penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di bumi Palestin dengan memainkan peranan yang aktif, sama ada menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan, makanan, peralatan perubatan atau bersuara serta bertindak untuk membantu mereka. Bantuan berbentuk sumbangan disampaikan melalui pertubuhan misi kemanusiaan yang sah, berdaftar dan boleh dipercayai. Sumbangan juga boleh terus disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Palestin di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri.

Kedua: Umat Islam hendaklah mendukung perjuangan membebaskan bumi Palestin berasaskan semangat persaudaraan Islam dan mengambil tanggungjawab mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa, di samping menyuarakan pengiktirafan terhadap kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka lagi berdaulat.

Ketiga: Misi bantuan kemanusiaan melalui Global Sumud Flotilla menjadi simbol perpaduan masyarakat dunia dan manifestasi nilai kemanusiaan sejagat. Usaha ini mencerminkan rasa simpati terhadap penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin, selain melambangkan keberanian dan kebencian warga dunia yang semakin memuncak terhadap kezaliman Zionis Israel.

Keempat: Umat Islam hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar memberikan perlindungan dan keselamatan kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla, selain memohon kekuatan dan pembelaan terhadap golongan yang dizalimi agar mendapat pembelaan yang seadil-adilnya dan dilimpahi perlindungan Ilahi sebesar-besarnya.

Kelima: Umat Islam digalakkan untuk terus membaca doa Qunut Nazilah agar Allah SWT memberikan keadilan kepada rakyat Palestin dan menimpakan pembalasan hukuman kepada pihak yang melakukan kezaliman.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 10 Oktober 2025, bertajuk “Palestin – Doa dan Kebersamaan”)

Kredit Foto: UNRWA (Ashraf Amra)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi