Diterbitkan pada 22 September 2025, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Riba merupakan ancaman serius kepada keadilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Pengharaman riba jelas dinyatakan dalam al-Quran, sunah dan disepakati oleh para ulama sepanjang zaman.

Implikasi Riba dalam Sistem Kewangan Global
Riba memberikan implikasi besar terhadap sistem kewangan global. Dari perspektif Islam, riba bukan sahaja haram dari sudut hukum, malah membawa kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

1. Ketidakadilan Ekonomi
Sistem riba cenderung untuk memperkayakan pihak yang sudah kaya dan membebankan pihak yang kurang berkemampuan. Peminjam yang berpendapatan rendah terpaksa membayar lebih, sementara pemiutang yang sudah kaya mendapat keuntungan tanpa perkongsian sebarang risiko.

2. Penindasan Ekonomi
Apabila seseorang terjebak dalam hutang berasaskan riba, mereka sering menghadapi kesukaran untuk keluar daripada perangkap hutang tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana jumlah hutang terus meningkat walaupun pembayaran balik dilakukan secara konsisten.

Dalam penulisan Dr. Abdul Wahab Arain, Prof. Dr. Abdul Hayee Madni dan Dr. Muhammad Atif Aftab, mereka menyatakan bahawa Islam menegaskan kepentingan konsep ihsan dalam isu pemiutang yang kaya dan penghutang yang memerlukan. Olah mereka, Islam menggalakkan pemiutang untuk memberikan lebih masa kepada penghutang yang dalam keadaan susah untuk membayar hutang disebabkan oleh kesukaran atau keadaan yang menghimpit. Dalam erti kata lain, pemiutang tersebut mestilah memberikan masa yang mencukupi untuk penghutang yang miskin sehingga keadaan kewangannya menjadi lebih baik.

Perkara ini jelas terzahir dalam firman Allah SWT yang bermaksud,

Dan jika orang yang berhutang dalam kesukaran, maka berilah tangguh sehingga dia berkelapangan, tetapi jika kamu menyedekahkannya, hal itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.

(Surah al-Baqarah 2:280).

3. Ketidakstabilan Ekonomi
Sistem kewangan berasaskan riba telah terbukti menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi global. Sebagai contoh, krisis kewangan pada tahun 2008 sebahagiannya berpunca daripada spekulasi dan pinjaman berasaskan faedah yang tidak terkawal.

4. Inflasi Ekonomi
Riba mendorong kenaikan inflasi dengan menambahkan beban kos perniagaan yang kemudiannya dipindahkan kepada pengguna melalui harga yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan.

John Weinburg dalam penulisannya menjelaskan impak terburuk sistem riba terhadap kelangsungan ekonomi pada peringkat global. Krisis ini berpunca daripada pinjaman spekulatif yang melampau, instrumen kewangan berasaskan faedah dan amalan perbankan yang tidak beretika. Pinjaman berserta riba kepada golongan tidak berkelayakan akhirnya menjerat mereka dalam beban hutang yang berpanjangan.

5. Kerosakan Moral dan Sosial
Sistem riba menggalakkan masyarakat untuk hidup dalam hutang, mengurangkan semangat tolong-menolong, dan meningkatkan jurang antara golongan kaya dengan miskin.

Cabaran untuk Mengatasi Sistem Riba
Walaupun terdapat kemajuan dalam pembangunan alternatif kepada sistem berasaskan riba, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antaranya termasuklah:
1. Dominasi Sistem Konvensional: Sistem kewangan konvensional yang berasaskan riba masih mendominasi pasaran global.
2. Kesedaran Awam: Kurangnya kesedaran tentang bahaya riba dan alternatif yang tersedia.
3. Kefahaman tentang Produk Kewangan Islam: Masih terdapat salah faham tentang produk kewangan Islam. Sesetengah pihak menganggapnya sama seperti produk konvensional dengan nama yang berbeza.
4. Piawaian Global: Keperluan untuk piawaian global yang lebih konsisten dalam kewangan Islam.

Pandangan Ulama Mengenai Riba
Para ulama sepanjang zaman telah bersepakat mengenai pengharaman riba. Yang berikut merupakan beberapa pandangan ulama terkemuka:

1. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din mengatakan:
“Tujuan larangan riba adalah untuk mencegah penindasan dan ketidakadilan dalam transaksi ekonomi. Riba boleh menyebabkan penumpukan kekayaan pada segelintir orang sehingga merugikan masyarakat.”

2. Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in menyatakan:
“Riba diharamkan kerana sistem ini merupakan kezaliman yang nyata. Riba menindas peminjam yang memerlukan dengan mewajibkan bayaran tambahan tanpa ada pertukaran nilai yang setimpal.”

3. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan:
“Allah SWT mengancam pelaku riba dengan perang daripada Allah SWT dan rasul-Nya kerana riba merupakan dosa besar yang membawa kerosakan dalam masyarakat dan ekonomi.”

Pandangan Ulama Kontemporari
1. Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitab Halal dan Haram dalam Islam menegaskan:
“Faedah bank adalah sama dengan riba yang diharamkan dalam al-Quran, kerana faedah tersebut melibatkan penambahan kepada jumlah pokok pinjaman tanpa ada risiko atau usaha yang setimpal.”

2. Mufti Taqi Usmani dalam bukunya, The Text of the Historic Judgment on Riba menulis:
“Tiada perbezaan antara riba pada zaman dahulu dengan faedah bank moden dari segi hakikat dan kesannya terhadap ekonomi dan masyarakat.”

3. Majma’ Al-Fiqh al-Islami (Akademi Fiqh Islam) telah mengeluarkan resolusi pada tahun 1986:
“Semua bentuk faedah bank adalah riba yang diharamkan, dan tiada perbezaan antara faedah untuk pinjaman konsumer dengan pinjaman produktif.”

Sistem kewangan Islam menawarkan alternatif yang berasaskan prinsip keadilan, perkongsian risiko dan kebajikan sosial. Kesedaran dan pendidikan tentang bahaya riba dan alternatif yang tersedia penting untuk membangunkan sistem kewangan yang lebih adil dan stabil. Dengan kerjasama semua pihak, termasuklah kerajaan, institusi kewangan, ulama dan masyarakat umum, diharapkan kita dapat bergerak ke arah sistem kewangan yang bebas riba dan lebih berkebajikan untuk semua, sesuai dengan tuntutan syariat Islam.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi