Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Kinabalu – Lebih 1000 orang peserta pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, Selasa lalu.
Seminar anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah itu diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Datuk Haji Mohd. Arif yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Dalam ucapannya, beliau berkata, pemikiran Allahyarham Dr. Siddiq Fadzil bukan sahaja dikenali melalui karya penulisan dan kepimpinan nasional, bahkan turut dekat dengan masyarakat Sabah melalui kuliah tafsir maudhu‘iy yang sarat keindahan bahasa dan keluhuran jiwa.
“Pemikiran Siddiq Fadzil sentiasa memberi pencerahan kepada umat Islam bukan sahaja dari sudut ilmu, malah turut membina kekuatan jiwa dan penghayatan makna kemerdekaan sebenar,” katanya.
Bertemakan “Membina Jiwa Merdeka”, seminar tersebut menekuni gagasan dan pemikiran Dr. Siddiq Fadzil dalam pembinaan negara serta pemeliharaan karamah insaniah.
Antara yang hadir termasuklah Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Haji Malai Ali Malai Ahmad; Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Nordin; serta Yang Dipertua ABIM Sabah, Tuan Mohd. Zikri Zainudin.
Program dimulakan dengan ucaptama Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman bertajuk “Membina Jiwa Merdeka”.
Seterusnya, Forum Fikrah Siddiq Fadzil menampilkan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tuan Haji Amidi Abdul Manan; Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin; dan Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah, Encik Muhd. Nur Hilmie Milus; manakala YBrs. Dr. Hajah Arsiah Hj. Bahron bertindak sebagai moderator.
Sesi terakhir ialah Bicara Pemimpin yang menampilkan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), YBhg. Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah, Tuan Haji Sainuri Yahmin, serta moderator, Yang Dipertua ABIM Sabah, Encik Muhd. Zikri Zainudin.