Diterbitkan pada 22 Ogos 2025, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pasir Puteh – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil terus istiqamah melaksanakan program Mulakan Hari dengan al-Quran (Mulhaq) sejak mula diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

Guru pembimbing, Ustazah Nurmufidah Mohd Napi, yang menerajui program ini sejak awal penubuhannya berkata, program ini berjaya menarik minat banyak pelajar dan masyarakat awam untuk memulakan hari mereka dengan bacaan al-Quran secara konsisten.

“Kelemahan ketika pandemik kami tukarkan menjadi kekuatan.

“Oleh itu, lahirlah Mulhaq, dan alhamdulillah program tersebut masih subur hingga kini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, sebahagian daripada pelajar yang menjadi peserta awal program ini sewaktu PKP dahulu kini telah melangkah ke menara gading, malah ada yang sudah pun menempuh alam pekerjaan.

“Hal ini membuktikan bahawa program Mulhaq bukan sahaja memberikan kesan jangka pendek, bahkan turut meninggalkan impak yang mendalam terhadap pembentukan rohani dan sahsiah pelajar,” ujarnya.

Pelajar kelas Kelas Kemahiran al-Quran membaca surah hafazan ketika zaman sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

Menurut Ustazah Nurmufidah, pada peringkat awal, Kelas Kemahiran al-Quran (KKQ) pagi diadakan di Surau SMK Kamil setiap pagi Isnin dan Selasa sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Pada waktu itu, alunan bacaan ayat suci al-Quran daripada para pelajar KKQ bergema indah mengikut sukatan hafazan yang berbeza-beza mengikut tingkatan masing-masing.

“Tujuan utama program tersebut adalah untuk melancarkan bacaan al-Quran pelajar sebelum mereka meneruskan hafazan mengikut sukatan yang ditetapkan,” jelas beliau.

Namun demikian, katanya, sejak pelaksanaan PKP, aktiviti tersebut tidak lagi dapat dijalankan secara bersemuka.

Oleh itu, di bawah bimbingan Ustazah Nurmufidah, program tersebut diteruskan secara dalam talian dengan pembaharuan dari segi nama, kaedah pelaksanaan, serta dibuka kepada orang awam melalui platform Google Meet dan siaran langsung Facebook.

Beliau menegaskan bahawa kelangsungan program Mulhaq merupakan berkat izin Allah SWT, malah setiap murid yang mengalunkan ayat suci Allah merupakan pilihan-Nya.

Katanya,

Alhamdulillah, semua berlaku dengan izin Allah SWT. Ustazah hanya melaksanakan tugas dan amanah Allah SWT. Setiap murid yang mengalunkan ayat suci Allah SWT ialah pilihan-Nya, dan itulah kenangan paling manis buat ustazah. Mulhaq bukan hanya program, bahkan wasilah untuk membina generasi ahli al-Quran yang istiqamah.

Pelaksanaan program Mulhaq secara dalam talian.

Program Mulhaq kini berlangsung secara dalam talian pada setiap Jumaat, pukul 7.00 pagi dengan bacaan surah yang dijadualkan mengikut sukatan hafazan KKQ seperti Surah al-Kahfi, Surah al-Insan, Surah Nuh dan Surah al-Jumu‘ah.

Sementara itu, pihak penganjur berharap agar Mulhaq dapat diperluas ke peringkat negeri, bahkan ke seluruh negara.

Katanya, “Harapan ini didorong oleh keyakinan bahawa pengisian rohani sebegini mampu menjadi benteng kekuatan diri serta menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan generasi muda.”

“Program Mulhaq kini menjadi bukti bahawa usaha kecil yang dilaksanakan secara istiqamah mampu melahirkan generasi pelajar yang lebih berdisiplin, berakhlak mulia, serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” ujar penganjur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi