Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMinggu Kesedaran Pendermaan Organ disambut pada 16 Ogos hingga 23 Ogos 2025, dengan tema “Warisku, Hormati Ikrarku”.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah ayat 32,

Maksudnya: “… Sesiapa yang membunuh seorang manusia tanpa alasan yang membolehkannya untuk membunuh orang itu, atau bukan kerana (dia) membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia; dan sesiapa yang menghidupkan (memelihara kehidupan) seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.”
Organ ialah bahagian dalaman dan luaran yang membentuk tubuh badan manusia seperti jantung, hati, buah pinggang, mata dan kulit. Organ yang berfungsi dengan sihat membolehkan manusia menjalani kehidupan harian dan beribadah dengan sempurna.
Namun demikian, atas beberapa sebab, organ berkemungkinan gagal berfungsi dengan baik, sekali gus menjejaskan kesihatan tubuh badan. Atas kesedaran tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia menganjurkan Kempen Kesedaran Pendermaan Organ, dengan harapan ummah akan lebih terbuka dan bersedia untuk mendermakan organ.
Pesakit yang mengalami kegagalan organ boleh diselamatkan melalui kaedah rawatan pemindahan organ, iaitu menggantikan organ yang berpenyakit atau rosak dengan organ yang sihat. Banyak pesakit berjaya diselamatkan melalui organ yang dipindahkan ke tubuh mereka, antaranya termasuklah pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang, hati, jantung dan sebagainya.
Namun begitu, rawatan ini mustahil dilakukan jika tidak ada penderma organ atau tiada persetujuan waris setelah pengikrar derma organ meninggal dunia. Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan tema “Warisku, Hormati Ikrarku” bagi menggalakkan waris bersetuju dengan hasrat pengikrar, seterusnya membolehkan proses pemindahan organ dilakukan.
Hingga April 2025, sebanyak 10 036 orang pesakit berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan organ baharu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 99.7 peratus bersamaan dengan 10 004 orang pesakit termasuklah 352 orang kanak-kanak memerlukan organ buah pinggang. Berbaki 22 orang pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ jantung dan paru-paru, sementara 10 orang pesakit memerlukan organ hati.
Berdasarkan rekod Hospital Kuala Lumpur, bermula pada tahun 1976 hingga April 2025, terdapat hanya 1000 orang penderma organ yang dapat dimanfaatkan selepas kematian mereka. Daripada angka tersebut, hanya 151 orang penderma organ, bersamaan dengan 15 peratus sahaja yang beragama Islam. Angka ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pesakit yang memerlukan organ gantian, dan juga terlalu rendah jika dibandingkan dengan sebanyak 405 000 jumlah keseluruhan pengikrar yang berdaftar.
Syariat Islam amat mengutamakan penjagaan nyawa, bertepatan dengan maqasid syariah, iaitu hifz al-nafs. Ayat 32 Surah al-Ma’idah menunjukkan ketinggian nilai nyawa manusia dan kemuliaan bagi orang yang membantu memelihara nyawa. Ummah yang ikhlas menderma organ dengan niat menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang berada dalam kesusahan merupakan ummah yang berhati mulia dan insya-Allah diganjari kelebihan selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim,

Maksudnya:
Sesiapa yang membantu mencukupkan keperluan saudaranya, maka Allah SWT pula membantu mencukupkan keperluannya. Sesiapa yang melepaskan kesulitan seseorang Muslim, maka Allah SWT melepaskan pula kesusahannya kelak pada hari kiamat.
Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1970 membenarkan atau mengharuskan pemindahan organ. Hukum yang sama juga diputuskan oleh badan fatwa antarabangsa seperti Majma’ Fiqh al-Islami dan Lajnah Da’imah Arab Saudi. Keharusan hukum tersebut disyaratkan mendapat persetujuan ahli keluarga si mati dan pemindahan organ tersebut menjadi ikhtiar yang dituntut demi membantu menyelamatkan nyawa penerimanya.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya, Zira‘ah al-A‘ada’ fi Dau’ al-Syari‘ah al-Islamiyah menyebut bahawa perbuatan menderma anggota badan sama hukumnya dengan menderma harta benda malah boleh didermakan kepada orang Islam ataupun bukan Islam selagi kaum Muslimin hidup dalam keadaan aman damai.
Mengambil kira kehidupan bermasyarakat di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pegangan agama, maka diharuskan bagi seseorang Muslim menderma organ sama ada kepada orang Islam ataupun bukan Islam. Namun begitu, mengutamakan organ milik orang Islam untuk didermakan kepada orang Islam itu lebih baik kerana kehidupannya digunakan untuk beramal soleh dan mentaati Allah SWT.
Menderma organ merupakan suatu bentuk ibadah jariah dan amalan yang sangat terpuji. Menderma organ merupakan satu daripada ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa manusia dan memberikan kehidupan baharu kepada mereka.
Melalui pendermaan organ, kita mungkin dapat membantu menyelamatkan seorang bapa yang menjadi tempat pergantungan ahli keluarganya, seorang ibu yang amat diperlukan oleh anak yang masih kecil, seorang guru yang berkemahiran tinggi, begitu juga insan soleh yang menabur bakti kepada ummah.
Yang berikut merupakan kesimpulan daripada perbincangan ini:
Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 22 Ogos 2025, bertajuk “Pendermaan Organ: Memulih Kehidupan – Jariah dan Manfaat Berterusan”.