Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Masyarakat umum perlu cakna tentang kepentingan memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan memperjelas pelaksanaannya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Raja-Raja Melayu menaungi seluruh aspek kenegaraan, khususnya perihal agama Islam, justeru pelibatan semua agensi dan pertubuhan penting bagi memastikan kelangsungan peranan ini dapat difahami dan diperkasakan pada semua peringkat masyarakat.” 

Demikian tegas Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, YB Senator Dato’ Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Siri Wacana Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Bil. 5 bertajuk “Islam Agama Persekutuan: Langkah Peneguhan dan Pelaksanaannya” di Anjung Melayu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa sejak dahulu lagi, Islam menjadi tunjang kepada kesepaduan tamadun di rantau alam Melayu.

Beliau menjelaskan, hal ini bukan sahaja terikat dari sudut agama, malah turut memayungi aspek perdagangan, ilmu, sastera dan teknologi.

Katanya, perjuangan mendaulatkan Islam perlu diteruskan melalui institusi dan mekanisme yang sedia ada.

Wacana anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu membincangkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, dengan memfokuskan peranan Raja-Raja Melayu, kuasa kerajaan negeri dalam hal ehwal syariah, serta cabaran perundangan yang timbul akibat daripada perbezaan undang-undang syariah negeri dan undang-undang persekutuan.

Perbincangan turut menyinggung beberapa kes penting di mahkamah syariah, cabaran liberalisme dan pluralisme dalam agama Islam, serta persoalan fatwa yang sering dicabar dari segi pelaksanaan. 

Dalam hal ini, panel jemputan, iaitu Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YB Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidi menegaskan bahawa pemahaman perlembagaan yang tepat menjadi kunci untuk mengelakkan konflik dan tafsiran yang bercanggah dengan ajaran agama.

YB Senator Dato’ Setia Salehuddin menekankan tentang perlunya kesedaran yang mendalam dalam kalangan penggubal undang-undang tentang konflik yang bertentangan.

Katanya,

Tanpa kefahaman yang jelas, mudah berlaku polemik yang boleh menjejaskan keharmonian sistem pemerintahan negara.

Majlis yang dimoderatorkan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar itu turut dihadiri oleh Norsyahrin Hamidon, Presiden DPMM, bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan yang komited memperkukuh kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan serta memasyarakatkan peranan institusi Raja-Raja Melayu.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi