Diterbitkan pada 10 Ogos 2025, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penulis perlu memainkan peranan penting sebagai cendekiawan yang dekat dengan ilmu dan menghasilkan karya bersifat intelektual, bukan sekadar pragmatik.

Demikian ucapan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Yang Berhormat (YB) Datuk Kamaruddin Md Nor sewaktu merasmikan Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), semalam.

Wacana ilmu ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan PPAK.

Dalam ucapannya, Datuk Kamaruddin Md Nor turut menyatakan kebimbangan terhadap kecederungan masyarakat hari ini yang lebih mengutamakan nilai pragmatisme sehingga mengetepikan unsur seni dan nilai ketamadunan.

Ujar beliau,

“Dalam kisah Badang, pahlawan beradu dengan seteru secara budiman dan penuh taktik halus. Seni orang Melayu menjatuhkan lawan dengan sopan tanpa menghina seteru. Hal ini merupakan ilmu yang menjadi asas peradaban.”

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamaruddin Md Nor ketika berucap dalam majlis Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK).

Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 ini berjaya menghimpunkan 200 orang peserta bagi mendalami ketokohan enam ilmuan Islam silam dan kontemporari.

Antara pembentang utama dalam majlis tersebut ialah Tokoh Budayawan Sepanjang Zaman, YB Dato’ A. Aziz Deraman yang mengupas ketokohan Shaikh Daud Al-Fatoni diikuti oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Nur Azuki dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membicarakan tentang sumbangan Tok Selehor serta pembentangan dari YBrs. Prof. Madya Dr. Aila Abdul Latif dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) tentang pemikiran Imam al-Ghazali.

Sesi kedua pula menampilkan pembentangan dari YBrs. Dr. Muhammad Fadzil Yusoff dari Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu tentang Ibn Battuta; pembentangan oleh YBrs. Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) tentang Profesor Dr. Abdus Salam dan pembentangan oleh Dr. Tuan Siti Mastazameeatun Long Tuan Kechik yang membicarakan tentang sumbangan al-Biruni.

Kesemua pembentangan tersebut dibukukan dalam Prosiding Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 terbitan GEMA 2025 (ISBN 978-983-9428-69-8).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi