Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau – Peserta muda dan berbakat, Zarif Aiman Asri mencuri perhatian apabila berjaya muncul sebagai juara pertandingan Jaguh Jawi Siri II dengan mengatasi 50 peserta lain dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar Tawau.

Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) 2025 yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Yuk Chin, Tawau pada 16 Julai lalu.

Program ini bertujuan menguji kemahiran membaca, menulis dan mengeja dalam tulisan Jawi berdasarkan panduan ejaan Jawi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain mencungkil bakat, pertandingan ini juga berhasrat memupuk minat dan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat. Hal ini sekali gus meningkatkan lagi tahap penguasaan tulisan Jawi, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pertandingan Jaguh Jawi Siri II berlangsung dalam empat segmen yang bersifat menghiburkan dan mendidik. Segmen pertama, “Teka Silang Kata Jawi” menguji pengetahuan am peserta yang perlu dijawab menggunakan tulisan jawi. Sebanyak 25 peserta terbaik daripada segmen ini dipilih untuk mara ke segmen kedua, iaitu “Transliterasi Jawi”.

Daripada jumlah tersebut, 15 peserta disaring untuk ke segmen ketiga, “Baca Jawi” sebelum hanya 13 peserta terbaik layak ke segmen terakhir, iaitu “Eja Jawi” bagi merebut hadiah utama yang ditawarkan.

Zarif Aiman Asri dari Sekolah Menengah Islamiah Tawau membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.00. Naib johan dimenangi oleh Syanizah Khamelia Syamshul dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mustapha, Tawau yang menerima RM300.00, manakala tempat ketiga disandang oleh Nurul Annisa Masdar juga dari MRSM Tun Mustapha dengan hadiah wang tunai sebanyak RM200.00.

Selain itu, 10 orang peserta lagi menerima hadiah sagu hati RM100.00 bagi setiap seorang berserta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, YB Kolonel Kehormat (PA) Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan sempena Majlis Penutupan Festival Bahasa dan Sastera 2025.

Sokongan dan maklum balas positif daripada guru pengiring yang terlibat menjadi pemangkin semangat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah untuk terus komited memperkasakan program berfokuskan tulisan jawi. Pemerkasaan ini dapat membudayakan penggunaannya dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat di negeri Sabah.

Antara peserta Jaguh Jawi Siri II dalam segmen 3: Baca Jawi, iaitu membaca seberapa banyak perkataan dalam tulisan Jawi dengan betul.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi