Diterbitkan pada 11 Julai 2025, 22:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Bagi umat Islam, konsep halalan tayyiban bukan sahaja membimbing dalam aspek pemilihan makanan yang sah, malah turut menekankan aspek kesihatan, kebersihan, dan tanggungjawab sosial.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Puan Nor Atikah Husna Ahmad Nasir, halal bermaksud dibolehkan atau dibenarkan menurut hukum Islam, manakala dalam konteks makanan pula, halal melibatkan proses menyeluruh merangkumi pemilihan bahan mentah, kaedah pemprosesan, kebersihan peralatan, sehinggalah penyimpanan dan pelabelan produk.

“Halal bukan hanya tentang mengelakkan babi atau alkohol, bahkan memastikan haiwan disembelih dengan kaedah yang beretika; makanan tidak tercemar dengan najis atau bahan berbahaya; dan bahan tambahan seperti pewarna, perisa, dan pengawet adalah selamat dan sah di sisi syariah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah sebagai ketua juri pertandingan mereka poster yang memfokuskan gastronomi halal sempena Hari Kelestarian Gastronomi 2025 peringkat UiTM Cawangan Perlis, pada 9 Julai lalu.

Para pemenang Pertandingan Poster Kesedaran sempena Hari Kelestarian Gastronomi 2025 bergambar di Bangunan al-Farabi 2, UiTM Cawangan Perlis.

Puan Nor Atikah Husna berkata, dengan kemajuan sains pada hari ini, para saintis kini boleh mengesan bahan haram dalam makanan dengan menggunakan pelbagai kaedah saintifik.

“Kaedah saintifik reaksi rantai polimerase (PCR) boleh mengesan DNA babi atau haiwan haram dalam gelatin, daging dan produk proses, manakala kaedah asai imunoserap terangkai ensim (ELISA) mampu mengesan protein haram dalam gula-gula.

“Teknologi spektroskopi transformasian Fourier inframerah (FTIR) pula boleh mengenal pasti profil kimia gelatin atau lemak untuk membezakan gelatin lembu dan babi, manakala kaedah kromatografi cecair-spektrometri jisim (LC-MS) boleh mengesan alkohol tersembunyi atau lemak babi dalam minuman dan kosmetik,” jelas beliau.

Ujar beliau, teknologi ini membantu industri makanan memastikan ketelusan dan kepatuhan kepada syariah, sekali gus melindungi pengguna daripada penipuan atau keraguan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, gastronomi halal membawa pendekatan yang menyatukan tradisi, teknologi dan kesihatan melibatkan penekanan terhadap kebersihan dan kualiti makanan.

“Gastronomi halal perlu mengintegrasikan elemen sains dalam penghasilan makanan halal moden seperti makanan vegan halal, snek kesihatan halal, dan produk nutraseutikal halal dalam usaha memastikan pilihan makanan diyakini bukan sahaja oleh orang Muslim, malah pengguna bukan Muslim yang mementingkan standard kebersihan dan etika makanan,” kata beliau.

Dari aspek ekonomi dan sektor pelancongan pula, beliau berkata, para pelancong Muslim dari serata dunia memilih Malaysia kerana kepelbagaian makanan halal tempatan.

“Hotel dan restoran yang mempunyai sijil halal mampu meningkatkan keyakinan para pelancong dan berpotensi membuka ruang kepada produk makanan halal tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, yang didukung oleh pensijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diiktiraf secara global,” katanya lagi.

Puan Nor Atikah Husna juga berkata, konsep halal berperanan sebagai medium interaksi kaum dan agama, terutamanya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia kerana makanan halal membolehkan semua golongan makan bersama-sama tanpa ragu.

“Resipi makanan tradisional pelbagai etnik boleh disesuaikan seperti dim sum halal, kek lapis halal dan kari halal dalam usaha memberikan kesedaran bahawa halal ialah nilai sejagat dan bukan hanya hukum agama, bahkan simbol kebersihan, tanggungjawab, dan kemanusiaan,” kata beliau.

Beliau juga berharap agar golongan belia dan remaja pada hari ini boleh mempromosikan makanan halal kepada orang bukan Islam secara global dan menyebarkan kesedaran tentang logo halal palsu, bahan tersembunyi, dan pentingnya prinsip halalan tayyiban.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi