Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekonomi Islam mesti tampil sebagai alternatif tuntas kepada sistem konvensional, dengan berteraskan nilai manusiawi, keadilan dan ihsan, serta tidak boleh terhenti sekadar menawarkan pembiayaan bebas riba. 

Demikian ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum meluncurkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (i-RISE) yang berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, petang semalam.

Menurut beliau, perkembangan dan kejayaan Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) menubuhkan i-RISE memberikan satu kerangka untuk mencari jawapan kepada permasalahan yang timbul dan berbangkit berkenaan dengan kewangan dan ekonomi Islam.

“Sementara kita rasa selesa dengan beberapa kejayaan dalam menjalankan kegiatan bank dan kewangan Islam, akan muncul pelbagai persoalan baharu yang mengasak dan menggesa kita supaya berfikir semula tentang seluruh pendekatan ini.

“Benar, ada keperluan untuk kita memberikan asas awalan, tetapi sudah sampai masa beberapa premis asas dalam kewangan dan perbankan Islam itu dinilai semula,” ujar beliau.

Tambah beliau, kewangan dan perbankan Islam tidak hanya terikat pada prinsip “bebas riba”, bahkan perlu juga mengikut kerangka maqasid syariah, terutamanya matlamat syariah yang menyentuh soal kemampanan, keadilan dan kemaslahatan. 

“Kesenjangan antara kaya dengan miskin, masalah kemiskinan tegar dan isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya sistem ekonomi dibina atas asas tatakelola yang baik serta dasar yang jelas dan progresif.

“Nilai ihsan hanya akan terserlah apabila negara Islam benar-benar komited terhadap reformasi institusi dan kemajuan rakyat,” jelas YAB Dato’ Seri Anwar.

Tegas beliau, untuk muncul sebagai alternatif yang benar-benar berdaya saing, sistem ekonomi Islam harus tampil bukan sekadar berbeza, bahkan lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan berbanding dengan sistem konvensional yang kerap menguntungkan segelintir pihak dan mengabaikan nilai ihsan serta kesaksamaan.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi