Diterbitkan pada 18 April 2025, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan dibentangkan kitab (catatan amalan), lalu kamu akan melihat orang yang berdosa ketakutan terhadap sesuatu yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata, ‘Aduhai, celaka kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan (catatan amalan) yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya,’ dan mereka mendapati apa-apa yang telah dilakukan mereka ada (tertulis di dalamnya)? Dan (ingatlah) Tuhan kamu tidak menzalimi seorang jua pun.”

(Surah al-Kahfi 18:49)

Kamus Dewan Perdana mentakrifkan buli sebagai perbuatan menyakiti, menganiayai atau menakuti seseorang biasanya dilakukan terhadap orang atau pihak yang lemah. Perbuatan membuli wajib dijauhi oleh orang mukmin kerana perbuatan tersebut tidak melambangkan sahsiah yang terpuji, berlawanan dengan semangat agama yang menyemai keharmonian dan kasih sayang sesama manusia, malah merupakan perbuatan salah laku yang menyalahi tuntutan syarak.

Buli berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara fizikal ataupun secara lisan. Buli secara fizikal adalah dengan menggunakan kekerasan ke atas tubuh badan atau harta benda mangsa, atau memaksa mangsa melakukan perkara yang tidak diredai. Membuli secara lisan pula melibatkan kata-kata keji seperti memaki, mengherdik, memberikan gelaran menghina atau mengaibkan, atau mempersendakan tubuh badan seseorang. Kebelakangan ini, media sosial semakin disalahgunakan untuk memuatkan dan menyebarkan kandungan yang berunsur buli, menyerang dan memfitnah mangsa buli.

Malaysia mencatatkan pelbagai kes buli yang berlaku di institusi pendidikan, di pusat latihan, di asrama kediaman, di tempat kerja, di rumah kediaman, malah berlaku di jalan raya. Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan sebanyak 6208 kes buli membabitkan pelajar sekolah direkodkan berlaku antara Januari 2024 hingga Oktober 2024. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia merekodkan sebanyak 8339 aduan berkaitan dengan buli siber bagi tempoh Januari 2024 hingga November 2024.

Sangat mendukacitakan apabila terdapat perbuatan membuli yang mengakibatkan kematian mangsa. Buli mengakibatkan pelbagai kesan buruk, sama ada dari segi fizikal, mental ataupun emosi. Lazimnya mangsa buli mengalami tekanan perasaan, hilang keyakinan diri, kemurungan hatta sampai ke peringkat mahu membunuh diri. Di sekolah, pelajar yang dibuli sentiasa berada dalam ketakutan, gemar bersendirian, hilang semangat dan gagal memberikan tumpuan pada pelajaran. Pekerja yang menjadi mangsa buli pula, termasuklah yang mengalami gangguan seksual akan mengalami tekanan, menyebabkan mereka hilang semangat untuk bekerja, menjadi kurang produktif,  sehingga mengakibatkan pencapaian organisasi terjejas.

Pembuli pula tidak terlepas berhadapan pelbagai kesan buruk. Jika disabitkan kesalahan, pembuli perlu membayar pampasan kepada mangsa buli sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah. Di samping itu, akan tercatat rekod bahawa mereka pernah melakukan jenayah, yang akan menimbulkan pelbagai kesulitan dalam kehidupan termasuklah ketika memohon untuk mendapatkan kerja. Sifat membuli yang gagal dibendung merupakan suatu penyakit. Pembuli yang tidak insaf, malah terus mengamalkan sikap membuli tanpa rasa bersalah atau tanpa ada rasa belas kasihan, akan cenderung untuk melakukan keganasan rumah tangga, menyeksa haiwan, dan berkemungkinan akan terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan sindiket jenayah yang ditugaskan berperanan sebagai kaki ugut dan kaki pukul.

Islam menegah umatnya berlaku zalim kepada manusia, haiwan dan alam semesta. Islam menuntut umatnya untuk mengamalkan akhlak mulia, saling hormat menghormati sesama manusia, mengasihani haiwan dan tumbuhan, menolong dan menunjukkan simpati terhadap orang yang lemah, terutamanya orang tua, orang yang uzur, wanita, kanak-kanak dan fakir miskin. Perbuatan membuli sama sekali tidak mencerminkan sahsiah mukmin sebenar. Rasulullah SAW menyifatkan mukmin terpuji ialah mereka yang lidah dan tangannya tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa. Hal ini selaras dengan hadis yang berikut:

Maksudnya: “Seorang Muslim ialah mereka yang membuatkan Muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidah dan tangannya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Pada suatu ketika, seorang sahabat mencerca Sayidina Bilal r.a. dengan memanggilnya “kulit hitam legam”. Perbuatan tersebut ditegur oleh Rasulullah SAW dengan bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau memiliki sifat jahiliah (kerana mengejek sahabatmu).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Ayat 49 Surah al-Kahfi mengingatkan umat Islam bahawa setiap perbuatan yang dilakukan sama ada kecil mahupun besar tetap tercatat dan akan dihitung di hadapan Allah SWT. Di sisi Ilahi, perbuatan menyakiti, memukul, menghina, mengejek atau menzalimi orang lain ialah perbuatan dosa yang akan diberikan pengadilan setimpal di akhirat.

Bagi membendung serta menangani isu buli, kerjasama erat dan pelibatan pelbagai pihak perlu digabungjalinkan, merangkumi ibu bapa dan guru, sama ada guru tadika, sekolah mahupun pusat latihan, masjid dan surau, pihak polis serta badan kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan. Di samping usaha mengemaskinikan peraturan dan undang-undang, perlu juga ada kejujuran dan ketegasan semua pihak penguatkuasaan undang-undang untuk bertindak secara telus, tegas, adil dan saksama, tanpa menghiraukan latar belakang pihak yang bersalah atau keluarga pihak yang bersalah.

Oleh itu, umat Islam diberikan beberapa saranan yang berikut:

Pertama: Perbuatan membuli wajib dijauhi dan dibendung kerana perbuatan tersebut bukan sekadar perbuatan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang meninggalkan pelbagai kesan buruk kepada mangsa, malah berdosa di sisi agama.

Kedua: Pentingnya ibu bapa mendidik, menyemai dan menerapkan sifat kasih sayang, belas kasihan dan ihsan kepada anak-anak ketika usia masih kecil, agar tumbuh sinar iman dalam jiwa mereka, yang memiliki sifat simpati dan empati sesama manusia dan terhadap makhluk Tuhan.

Ketiga: Kenal pasti sebarang perubahan kelakuan dan sikap anak-anak. Nasihatkan mereka untuk membuat aduan jika menjadi mangsa buli, berikan mereka sokongan moral, dan memberikan bimbingan kaunseling agar mereka kekal kuat dan pulih keyakinan diri.

Keempat: Dipergiatkan kempen kesedaran bahaya buli, di samping memperbanyakkan program pengukuhan jati diri Muslim dan penerapan nilai kemuliaan insan.

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 18 April 2025 yang bertajuk “Jauhi Buli”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi