Diterbitkan pada 18 April 2025, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Sebanyak 40 orang bakal penulis menerokai peluang penerbitan bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Bengkel Mentoran Penulisan dalam Penerbitan Popular anjuran Jawatankuasa Perpustakaan Islam Malaysia (JKPIM), Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) yang berlangsung semalam di Bilik Seminar, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Program ini menampilkan Editor majalah Dewan Tamadun Islam terbitan DBP, Puan Syaza Wardina Abd Khalik, sebagai penceramah utama.

Gambar peserta Bengkel Mentoran Penulisan dalam Penerbitan Popular bersama-sama penceramah, Puan Syaza Wardina Abd Khalik, yang merupakan Editor majalah Dewan Tamadun Islam DBP (duduk di tengah).

Pengerusi JKPIM, YBhg. Datin Nor Azzah Momin berkata, bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pendedahan tentang kepentingan penulisan dalam usaha menyebarkan maklumat kepada masyarakat umum, khususnya dalam kalangan warga perpustakaan.

“Melalui penganjuran bengkel ini, saya mengharapkan agar peserta dapat membudayakan aktiviti penulisan dan penyampaian ilmu kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, objektif program antara lain adalah untuk mendedahkan peserta kepada ilmu pengetahuan dalam bidang penulisan, memupuk budaya penulisan berkualiti dalam penerbitan popular, serta memotivasikan peserta agar lebih aktif menyumbang idea dan ilmu kepada masyarakat.

Peserta bengkel terdiri daripada pustakawan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Turut serta ialah pensyarah USIM, kakitangan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), wakil Persatuan Cinta Gaza Malaysia, serta penulis dan orang awam.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, Dr. Norhasnira Ibrahim berkata, beliau berasa amat teruja dengan pengalaman mentoran yang diberikan oleh pihak DBP dalam bengkel ini.

Tambah beliau, “Sebelum ini, saya lebih fokus kepada penulisan akademik dan tidak dapat membezakannya dengan penulisan separa ilmiah.

“Selepas mengikuti bengkel ini, saya lebih memahami cara mengolah penulisan akademik kepada bentuk yang lebih ringan dan sesuai untuk penerbitan popular atau separa ilmiah,” ujarnya.

Secara keseluruhan, para peserta memberikan maklum balas yang positif dan menyarankan agar bengkel seumpama ini diteruskan secara berkala demi memperkasakan budaya penulisan dalam kalangan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi