Diterbitkan pada 22 Mac 2025, 08:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan program Tadarus al-Quran bagi memperkasakan pembelajaran dan penghayatan al-Quran dalam kalangan pensyarah wanita fakulti tersebut, sepanjang Ramadan ini.

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta hafazan al-Quran di samping mengeratkan ukhuwah sesama warga fakulti dalam suasana yang penuh kekhusyukan.

Menurut Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Ismalaili Ismail, inisiatif ini selaras dengan visi universiti untuk membentuk warga yang holistik, mengimbangi kecemerlangan dalam kerjaya dengan pembangunan spiritual.

“Kami di FPP sentiasa percaya bahawa ilmu yang diperoleh harus disertai dengan peningkatan rohani yang kuat.

“Melalui tadarus al-Quran ini, kami berharap warga fakulti bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi juga dalam aspek kerohanian mereka,” ujar beliau.

“Selain itu, pelibatan pensyarah ini juga menggalakkan semangat kebersamaan dan memberikan contoh teladan kepada warga kampus yang lain,” tambahnya.

Program yang diketuai oleh Dr. Noraini Nasirun ini merangkumi sesi bacaan al-Quran berserta tafsir dan tazkirah bagi memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang ayat yang dibaca.

FPP berharap program ini dapat diperluas kepada pelajar dengan penyertaan yang lebih menyeluruh dalam kalangan lelaki dan wanita pada masa akan datang.

Selain tadarus, fakulti merancang untuk menganjurkan bengkel tafsir serta aktiviti amal bersama-sama komuniti setempat bagi memperkukuh pembangunan insan di UiTM Cawangan Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi