Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis menerusi Fakulti Sains Gunaan, telah menyampaikan sumbangan kepada Masjid as-Sobirin dan Masjid al-Rashid, Perlis, pada 20 Mac 2025.
Pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim di Dewan Masjid as-Sobirin.
Tabung Program Sinar Kasih Ramadan telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM6,450.00.
YBrs. Dr. Nur Nasulhah ketika berucap berkata, tujuan penganjuran program Sinar Kasih Ramadan Tahun 2025 adalah untuk memberikan sumbangan kepada komuniti Masjid as-Sobirin dan Masjid al-Rashid.
“Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis amatlah komited dan prihatin untuk membantu meringankan beban penduduk yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan,” kata beliau.
“Sumbangan berbentuk wang dan pakaian ini diharapkan dapat diuruskan oleh pihak masjid untuk disalurkan kepada penduduk yang amat memerlukan,“ tambah beliau lagi.
Beliau juga berterima kasih kepada orang ramai dan warga UiTM Cawangan Perlis yang sudi menyumbang kepada tabung Sinar Kasih Ramadan Tahun 2025.
“Semoga semangat bersedekah dan berkongsi rezeki ini terus subur dalam jiwa masyarakat dan semangat murni ini diteruskan lagi pada bulan selain Ramadan,” kata beliau.
Beliau berkata, program bersifat sumbangan dan komuniti ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi pendidikan yang cakna dan memberikan penyelesaian strategik kepada masalah sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh komuniti sekeliling.
“Program Sinar Kasih Ramadan Tahun 2025 bukan sahaja mencipta karakter seorang Muslim yang peka dengan situasi dan keperluan komuniti, tetapi juga membuka peluang untuk mengenal pasti isu, permasalahan dan cabaran yang didorong dengan usaha menggerakkan sumber serta mengariskan strategi yang releven dalam usaha meningkatkan potensi masyarakat ke arah perubahan,” kata beliau.
“Hal ii sejajar dengan hasrat universiti untuk memasyarakatkan kewujudannya sebagai sebuah universiti awam agar kewujudannya dirasai, kehadirannya dapat dilihat dan suaranya didengari oleh masyarakat,“ tambah beliau lagi.
Sumbangan RM400.00 telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Nur Nasulhah kepada YBrs Encik Zenon Ishak (Timbalan Pengerusi Masjid as-Sobirin) dan Encik Ahmad Ismail (Pengerusi Masjid al-Rashid) di hadapan warga UiTM Cawangan Perlis dan wakil komuniti yang hadir.