Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Surau al-Hukama’ dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Badan Keluarga DBP menganjurkan program ceramah agama, bacaan Surah Yasin dan tahlil sempena kedatangan Ramadan di Surau al-Hukama’, Wisma DBP, pada pagi tadi.
Program ini menampilkan Mudir Pusat Tahfiz Darul Haafizhin, Ustaz Muhammad Aryf Zaki Mohd Ali sebagai penceramah undangan yang berkongsi tentang keberkatan Ramadan serta amalan yang perlu ditingkatkan pada bulan mulia ini.

Menurut beliau, kedatangan Ramadan ialah anugerah terbesar kurniaan Allah kepada umat Islam kerana Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 bahawa Ramadan ialah bulan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta keterangan tentang perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Beliau turut memetik doa yang dianjurkan untuk dibaca sebelum kedatangan Ramadan, iaitu:
Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta Kauberkatilah kami pada bulan Ramadan.
Doa ini, menurut beliau, menunjukkan kepentingan memohon kepada Allah agar diberikan peluang bertemu dengan Ramadan dan mengisinya dengan amal soleh.
“Pada bulan ini, segala pintu rahmat dibuka, peluang beribadah dilipatgandakan, pintu syurga terbuka luas, pintu neraka ditutup rapat, dan syaitan dibelenggu.
“Ini ialah satu keistimewaan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Tambah beliau, melihat kepada purata jangka hayat manusia yang hidup antara 60 tahun hingga 70 tahun, banyak masa yang dihabiskan untuk makan, tidur dan rutin harian.
Jelas beliau, jika dihitung, hanya sedikit sahaja yang berbaki untuk amal ibadah, sedangkan bulan Ramadan menawarkan peluang luar biasa bagi mengumpulkan pahala.
Pada bulan ini, kita berpeluang untuk masuk ke syurga dengan jalan yang mudah.
“Bagi orang yang berpuasa dengan penuh keimanan, mereka akan diberikan ganjaran memasuki syurga melalui pintu khas yang dikenali sebagai al-Rayyan,” jelasnya.
Beliau turut menyarankan agar umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan sempurna serta menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, dan memperbanyak amal kebajikan seperti bersedekah.
Menurutnya, orang menjaga iman dan amal pada bulan ini akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
Umat Islam juga digalakkan menghidupkan malam lailatulqadar, khususnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan, kerana malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan.
Pada malam itu lebih baik daripada 1000 bulan (kira-kira 83 tahun), segala amalan umpama dilakukan dalam tempoh 800 tahun lamanya. Ketika itu, perbanyakkan amalan membaca al-Quran kerana pahalanya seperti melakukan ibadat selama 1000 tahun.
“Lakukan juga solat sunat tahajud dua rakaat sebagai pemberi semangat untuk menambahkan amalan. Sekiranya tidak mampu melakukan solat sunat tahajud, seseorang itu digalakkan untuk beristighfar,” pesannya.
Beliau turut menasihati agar umat Islam menjaga akhlak sepanjang Ramadan dengan menghindari perbuatan yang boleh merosakkan pahala puasa seperti berkata-kata sia-sia, menonton hiburan berlebihan, terlalu melayan media sosial, serta tidak menjaga adab dalam pergaulan.
“Sentiasalah kita membuat amal kebaikan, bersabar, dan menjauhi percakapan yang sia-sia agar pahala puasa tidak hilang begitu sahaja. Puasalah dengan penuh keimanan dan pengharapan agar kita memperoleh keampunan Allah. Jika dosa diampunkan, inilah kunci keberkatan hidup, rezeki yang melimpah-ruah dan pembukaan pintu syurga di akhirat,” katanya.
Program ini diakhiri dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran atas peluang yang diberikan untuk bertemu Ramadan sekali lagi, serta harapan agar setiap hadirin dapat meningkatkan amalan dan memperoleh keberkatan sepanjang bulan mulia ini.