Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Kain kiswah bernilai RM16 juta yang merupakan hadiah daripada Kerajaan Arab Saudi kepada Kerajaan Malaysia menjadi daya tarikan pengunjung Festival Antarabangsa Seni al-Quran Restu yang berlangsung di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Shah Alam.
Kain kiswah berwarna hitam yang ditenun daripada emas dan perak, serta dihiasi dengan ayat suci al-Quran tersebut bukan sahaja dapat dilihat bahkan disentuh oleh orang ramai yang mengunjungi festival tersebut.

Festival Antarabangsa Seni al-Quran Restu anjuran Yayasan Restu berlangsung selama 10 hari, bermula pada 24 Januari hingga 2 Februari 2025, dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam dan masuk adalah percuma.
Festival ini bertujuan untuk memartabatkan al-Quran dan sejarah Islam melalui pameran eksklusif dan teknologi interaktif.
Satu daripada tarikan utama festival ini ialah pameran barangan peribadi Rasulullah SAW seperti pedang, rambut, capal, cebisan jubah serta replika rumah Baginda bersama-sama Sayidatina Khadijah r.a.
Pengunjung juga boleh menyaksikan kisah sirah Nabi Muhammad SAW melalui teknologi realiti maya (VR), termasuklah peristiwa Israk Mikraj dan Pembukaan Kota Makkah.

Selain itu, festival ini mengetengahkan pameran al-Quran yang diterjemahkan dalam 25 bahasa, antaranya termasuklah bahasa Korea, Jerman, China, Inggeris, Perancis dan Sepanyol.
Festival ini turut menyediakan aktiviti menarik seperti Seni Khat Antarabangsa, seminar al-Quran dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), bengkel kecerdasan buatan (AI), serta pertandingan mewarna dan aktiviti mencanting batik untuk kanak-kanak.

Bersempena dengan Tahun Melawat Selangor 2025, pengunjung boleh menukar naskhah al-Quran lama kepada yang baharu serta mendapatkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembelian al-Quran dan bahan ilmiah lain.
Festival ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara serta menjadi platform memperkasakan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat.