Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTarikh 16 Disember 2024 merupakan detik yang menggembirakan bagi bakal jemaah haji, khususnya yang menerima surat tawaran untuk menunaikan haji pada musim 1446H. Pada 19 Disember 2024 yang lepas, orang ramai mula membuat rayuan bagi membolehkan mereka menunaikan haji pada tahun hadapan.
Ibadat haji merupakan satu daripada rukun Islam. Kewajipan ibadat haji sekali sahaja seumur hidup, iaitu kepada umat Islam yang berkemampuan. Hal ini dikatakan demikian kerana satu daripada syarat wajib haji ialah individu yang memenuhi kriteria berkemampuan seperti mampu menyediakan tambang untuk pergi dan balik serta memiliki bekalan yang cukup untuk diri sendiri dan nafkah kepada tanggungan yang ditinggalkan sepanjang tempoh mengerjakan haji.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 97 yang bermaksud,
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.
Menuntut ilmu berkaitan dengan pelaksanaan ibadat haji ialah fardu ain, iaitu wajib bagi semua bakal tetamu Allah (duyuf al-Rahman). Kegagalan menguasai ilmu manasik haji dibimbangi akan menyebabkan ibadat haji tertolak ataupun tidak sah. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu ialah asas kepada penerimaan sesuatu amal ibadat.
Ibn Ruslan menyebut, “Tiap-tiap orang yang beramal tanpa ilmu, amalannya ditolak dan tidak diterima.” (Matan al-Zubad). Sudah pasti nilaian ibadat yang dilakukan berteraskan ilmu tidak sama dengan amal ibadat yang dibuat sekadar ikut-ikutan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zumar ayat 9 yang bermaksud,
Katakanlah: ‘Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Antara falsafah daripada ibadat haji termasuklah persaudaraan sesama Muslim. Umat Islam di seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa akan berada di tanah suci Makkah bagi menyempurnakan rukun dan wajib haji. Mereka akan menunaikan haji sama ada secara ifrad, qiran ataupun tamattu’ berdasarkan kesesuaian dan keselesaan masing-masing. Oleh sebab itu, penguasaan ilmu manasik haji sangat penting bagi semua jemaah haji agar mereka tidak meniru perlakuan ibadat jemaah haji yang mungkin berbeza daripada jenis haji yang dilaksanakan oleh mereka.
Contohnya, jemaah haji yang ingin menunaikan haji tamattu’ perlu berniat umrah di miqat apabila ingin memasuki Makkah. Mereka tidak boleh meniru jemaah haji yang menunaikan haji secara ifrad, iaitu berniat haji di miqat apabila ingin memasuki Makkah. Begitu juga pada 8 Zulhijjah, jemaah haji yang mengerjakan haji tamattu’ akan berniat haji di tempat penginapan masing-masing. Namun begitu, bagi jemaah haji yang mengerjakan haji qiran dan ifrad tidak perlu berniat haji pada 8 Zulhijjah.
Jemaah haji juga perlu jelas berkaitan dengan solat sunat ihram. Semasa waktu tahrim seperti selepas mengerjakan solat asar, jemaah tidak boleh menunaikan solat sunat ihram. Bukan setiap masa disunatkan menunaikan solat sunat ihram. Idhthiba’ (membuka bahu sebelah kanan) ketika berihram disunatkan ketika hendak melakukan tawaf. Amalan ini tidak disunatkan ketika berada di hotel atau ketika sedang menunaikan solat sunat tawaf. Oleh itu, jemaah haji perlu memahami perkara ini agar tidak melakukan perkara yang tidak dituntut.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Ambillah ibadat hajimu daripadaku.
(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasa‘i)
Begitu juga jemaah yang telah selesai ketiga-tiga amalan haji, iaitu melontar jamrah al-kubra, bercukur atau bergunting dan tawaf serta sai, maka mereka telah tercapai tahallul thani. Sehubungan dengan itu, mereka telah bebas sepenuhnya daripada larangan semasa ihram. Namun demikian, bagi jemaah yang baru sahaja terlaksana tahallul awwal, perlu menjaga tiga lagi larangan ihram yang berbaki.
Selain itu, terdapat sedikit perubahan pada perbuatan semasa melaksanakan haji antara jemaah lelaki dengan jemaah perempuan. Contohnya, lelaki disunatkan melafazkan talbiah dengan suara yang nyaring dan perempuan pula memadai didengari oleh telinga sendiri sahaja. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Idhoh fi Manasik al-Haj bahawa jemaah haji lelaki disunatkan melakukan tawaf berdekatan dengan Kaabah, manakala jemaah perempuan disunatkan bertawaf dalam keadaan jauh dari Kaabah bagi mengelak daripada bersesak dengan jemaah lelaki. Begitu juga semasa sai, jemaah lelaki disunatkan berlari-lari anak apabila sampai di kawasan lampu hijau. Walau bagaimanapun, jemaah perempuan tidak disunatkan berlari anak, iaitu mereka perlu berjalan seperti biasa sahaja.
Perkara ini merupakan antara kandungan utama dalam Kursus Asas Haji (KAH) anjuran Tabung Haji yang berlangsung selama 13 siri. Bakal jemaah haji musim 1446H juga diberi buku nota KAH secara percuma. Sehubungan dengan itu, bakal jemaah haji digalakkan membawa buku tersebut sebagai rujukan sepanjang mengerjakan manasik haji. Hal ini penting agar jemaah haji dapat mengulang kaji perbahasan berkaitan dengan ibadat haji.
Pada masa yang sama, para jemaah haji perlu merujuk Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) apabila timbul sebarang kemusykilan berkaitan dengan manasik haji khususnya persoalan darah wanita. Semua ini bertujuan agar ibadat haji yang ditunaikan sah dan bertepatan dengan syariat serta sunah Rasulullah SAW.
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Darulaman merangkap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Tabung Haji.