Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT,
Maksudnya: “Tidakkah kamu (wahai Muhammad) memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan tentang kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit.”
(Surah Ibrahim 14:24)
Akidah ialah perkara pertama yang dibawa oleh Rasulullah SAW untuk mengubah fahaman jahiliyah kepada keimanan terhadap Allah yang Maha Esa. Keutamaan akidah Islam terserlah melalui ayat-ayat Makkiah yang diturunkan pada 13 tahun pertama kerasulan Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di Makkah.
Akidah yang rosak boleh membawa kepada syirik dan gugur iman. Orang Islam yang sengaja merosakkan imannya atau menggugurkan akidah, dianggap telah melakukan jenayah berat dan boleh dihukum melalui kesalahan jenayah murtad.
Ayat 24 Surah Ibrahim tersebut menunjukkan perumpamaan iman dan akidah sebagai pohon yang baik dan disifatkan sebagai akar yang menunjangi jiwa mukmin. Berdasarkan kepentingan pemeliharaan akidah, para ulama Ahli Sunah Waljamaah telah berusaha mengkaji nas syarak daripada al-Quran, hadis Rasulullah SAW dan sumber yang disepakati dalam Islam untuk membina manhaj, prinsip atau kaedah bagi menerapkan perkara usul dalam akidah, seterusnya berbahas dan menjawab segala kekeliruan atau kesamaran dalam kalangan umat Islam.
Islam menekankan keutamaan memelihara dan kepentingan mengukuhkan akidah. Dalam rukun iman, asas utama akidah ialah kepercayaan dan keyakinan hati kepada Allah SWT. Suntikan iman merupakan perkara terpenting yang membezakan orang beriman dengan orang yang munafik atau zindik. Begitulah seterusnya siri kepercayaan hati dalam rukun iman. Proses pembelajaran atau mendalami ilmu agama (tafaqquh fi al-din) berupaya menambahkan iman, menjauhi syirik serta maksiat sehingga umat Islam benar-benar tunduk dan taat pada perintah dan larangan Ilahi serta kukuh akidahnya dan tidak mudah diselewengkan.
Rukun iman dijalinkan dengan rukun Islam, iaitu jalinan penting untuk memastikan umat Islam memiliki akidah yang teguh dan seterusnya melakukan pelbagai amal makruf. Akidah yang kukuh ialah asas penting dalam pembentukan keperibadian seseorang Muslim. Tanpa akidah, seseorang akan menjadi rosak dengan kesesatan dan kekufuran, hidup tanpa pedoman ilahiah dan boleh terjebak dengan perbuatan syirik.
Yang berikut merupakan langkah penting untuk mengukuhkan akidah Ahli Sunah Waljamaah:
Pertama: Keperluan berpegang pada akidah majoriti umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dalam perkara yang sesat; apabila kamu melihat perselisihan dalam fahaman, maka hendaklah kamu berada bersama-sama kumpulan umat terbesar.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah).
Yang dimaksudkan dengan al-sawad al-a’zam ialah golongan terbesar atau majoriti umat Islam, iaitu Ahli Sunah Waljamaah beraliran Asya’irah dan Maturidiah.
Imam al-Zubaidi berkata:
Maksudnya: “Apabila disebut Ahli Sunah Waljamaah, maka yang dimaksudkan ialah golongan Asya’irah dan Maturidiah.”
Akidah Ahli Sunah Waljamaah aliran Asya’irah dan Maturidiah merupakan aliran terbesar yang diikuti oleh sebanyak 95 peratus umat Islam. Para ulama aliran ini sentiasa berusaha menerapkan dan memberikan kefahaman kepada umat Islam berkaitan dengan pendidikan akidah yang benar serta selari dengan al-Quran dan hadis. Antaranya termasuklah penerapan akidah melalui pendekatan sifat 20 yang telah berjaya melahirkan sejumlah besar umat Islam yang memenuhi tuntutan agama berpandukan pemahaman yang benar dan sahih tentang perkara usul dalam akidah.
Mereka juga berjaya membanteras serta menangani unsur penyelewengan dan pencemaran akidah daripada aliran yang terkeluar daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah seperti Muktazilah, Jabariah, Qadariah, Syiah, Mujassimah, Musyabbihah dan aliran moden seperti sekularisme, komunisme, liberalisme, pluralisme dan seumpamanya.
Kedua: Menerapkan akidah kepada anak sejak kecil.
Menjadi kewajipan ibu bapa untuk memberikan pendidikan akidah kepada anak-anak yang meliputi tiga perkara berkaitan dengan Ilahiyat.
Pertama: Perkara yang berkaitan dengan ketuhanan, iaitu sifat wajib, sifat mustahil dan sifat harus bagi Allah SWT.
Kedua: Perkara yang berkaitan dengan kenabian, iaitu perkara yang bersangkutan dengan sifat wajib, sifat mustahil, sifat harus bagi seseorang rasul.
Ketiga: Sam’iyyat, iaitu perkara yang disampaikan oleh rasul untuk diimani oleh manusia seperti malaikat, dosa dan pahala, syurga dan neraka, himpunan di padang mahsyar, siratulmustakim, azab kubur dan seumpamanya.
Ketiga: Melakukan amar makruf nahi mungkar, iaitu mendorong dan menggalakkan umat Islam melakukan kebajikan serta mencegah kemungkaran dengan menyebarkan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat termasuklah menolak perkara tahyul, khurafat, ajaran yang menyimpang serta menjauhi perkara mungkar yang mengundang kemurkaan Ilahi.
Keempat: Pengawasan terhadap ajaran sesat.
Pihak berkuasa dengan kerjasama masyarakat bersama-sama membendung ajaran yang menyimpang daripada akidah Ahli Sunah Waljamaah dengan mengenal pasti dan bertindak tegas terhadap ajaran yang menyeleweng demi menjaga keharmonian pegangan umat Islam.
Kesimpulannya, akidah yang benar ialah keyakinan yang lurus, suci dan murni berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW yang diwarisi daripada generasi kepada generasi atas manhaj Ahli Sunah Waljamaah. Akidah yang benar akan membimbing manusia mengenal Allah SWT serta membentuk kelakuan dan sikap murni terutamanya dalam cara memahami agama demi memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 27 Disember 2024, bertajuk “Mengukuhkan Pegangan Akidah Ahli Sunah Waljamaah”)