Diterbitkan pada 22 Disember 2024, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa prihatin terhadap usaha-usaha mengangkat karya agung pujangga Islam dunia yang membawa pemikiran kemanusiaan sejagat.

Sehubungan dengan itu, DBP menyambut baik hasrat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menterjemahkan karya pujangga Islam Turkmenistan, Magtymguly Pyragy dalam bahasa Melayu.

DBP akan mengusahakan kerjasama dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk menterjemahkan karya pujangga Islam berkenaan dalam bahasa kebangsaan demi mengangkat bahasa Melayu ke peringkat serantau, sekali gus ke peringkat antarabangsa.

DBP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan beliau dalam mendaulatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Dalam menghasilkan penerbitan bahasa Melayu yang bermutu tinggi dan berwibawa, DBP bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan peranan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Terdahulu dalam sidang media YAB Perdana Menteri dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow yang dalam lawatan selama dua hari ke Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa DBP sedang mengusahakan penterjemahan beberapa karya penyair agung dunia dalam bahasa Melayu untuk memberikan makna bagi kerjasama yang menyeluruh kepada negara Islam yang komited terhadap pembangunan dan keamanan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi