Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini mengumumkan kos menunaikan ibadat haji tahun 2025 bagi bakal jemaah haji muassasah, dengan kadar bayaran kumpulan B40 yang menunaikan ibadat haji buat kali pertama ditetapkan pada jumlah RM15,000 seorang.
Kos tersebut meningkat sebanyak RM2,644, berbanding dengan jumlah RM12,356 pada tahun 2024.
Pada masa yang sama, jemaah haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah dengan bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang, menjadikan kos keseluruhannya sebanyak RM33,300.
Sementara itu, bayaran haji muassasah bagi seorang jemaah kumpulan M40 ialah RM23,500 dan mereka akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji.
Bagi jemaah haji muassasah kumpulan T20 pula, iaitu individu yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji sebanyak RM33,300 seorang.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman, Bantuan Kewangan Haji bagi musim 1446H/2025M dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih daripada RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
“Jumlah bantuan yang besar ini memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.
Menurutnya, harga penginapan di tanah suci telah meningkat secara mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.
“Namun begitu, TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal,” jelasnya lagi.
“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH,” kata beliau.
Oleh itu, TH telah mengambil langkah dengan menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak tahun 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam penunaian ibadat haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan TH demi memelihara kepentingan pendeposit.
“Keputusan ini selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadat haji selari dengan konsep istito’ah, iaitu ibadat haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan,” ujarnya.
Tambah beliau, “Prinsip Bantuan Kewangan Haji bersasar adalah selaras dengan polisi TH untuk mengurangkan Bantuan Kewangan Haji, yang dibiayai daripada keuntungan pelaburan secara beransur-ansur sejak tahun 2022 demi kemampanan kewangan TH.”
“Penurunan Bantuan Kewangan Haji juga adalah adil bagi memastikan kelestarian kewangan TH dan mengurangkan kesan Bantuan Kewangan Haji terhadap pulangan pelaburan kepada pendeposit. Memastikan kadar pulangan yang baik dan mampan juga ialah satu daripada tanggungjawab penting TH,” ujarnya lagi.
Surat tawaran haji kepada 31,600 orang bakal jemaah bagi tahun 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 16 Disember 2024.
Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran.