Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChuping – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memerlukan tambahan sebanyak RM2.5 juta untuk melengkapkan pembiayaan projek pembinaan Masjid As-Solihin di Chuping yang dianggarkan bernilai RM7.5 juta.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan meninjau tapak cadangan masjid semalam sempena program Kayuhan MAIPs Peduli, yang mencerminkan keprihatinan baginda terhadap pembangunan prasarana agama dan kepentingan sokongan masyarakat dalam usaha pembinaan masjid.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan, namun kekurangan dana sebanyak RM2.5 juta masih perlu ditampung.
“Masjid As-Solihin bukan sekadar tempat ibadat, tetapi juga pusat komuniti untuk pendidikan agama, pembangunan masyarakat dan aktiviti sosial.
“Setiap sumbangan, kecil atau besar, amat bermakna untuk memastikan pembinaan ini dapat diteruskan,” katanya.
Program Kayuhan MAIPs Peduli turut menjadi platform untuk mempromosikan kempen wakaf bagi pembinaan masjid ini.
Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak, menyatakan sokongan penuh institusi korporat terhadap inisiatif ini.
Setiap sumbangan akan memastikan pembinaan masjid ini dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan akan datang.
Orang awam boleh membuat sumbangan melalui pautan wakaf yang disediakan: https://bayaran.maips.gov.my/donation_pay?categ=8.
MAIPs menyeru semua pihak untuk turut bersama menjayakan usaha ini demi kesejahteraan ummah.