Diterbitkan pada 4 Disember 2024, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2024  bersetuju dengan cadangan penubuhan Badan Profesional Halal untuk menyelaras pembangunan profesional dalam sektor itu.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal pada peringkat negeri.

“Langkah ini akan memperluas penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal selain memastikan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) lebih menyeluruh pada peringkat negeri,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.

Menurut beliau, sesi dialog dan libat urus seperti HIMP 2030 Open Day juga akan dianjurkan pada awal tahun hadapan bagi memperkukuh kerjasama dan pelibatan semua pihak.

Tambah beliau, program ini bertujuan untuk menyelesaikan isu utama, membuka peluang baharu dan memacu pertumbuhan industri halal pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Jelas beliau, HIMP 2030 kini telah mencapai 75 peratus daripada sasarannya hingga suku ketiga 2024, dengan nilai eksport halal mencecah RM45 bilion dan pelaburan di Taman Industri Halal bernilai RM16.7 bilion.

Namun begitu, katanya, usaha terus dipergiatkan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan komited untuk memastikan ekosistem halal negara terus maju dan menyumbang 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030,” maklum beliau.

Beliau yakin dengan sinergi antara sektor awam dengan swasta, penyelarasan strategik dan pembukaan pasaran baharu, Malaysia akan kekal sebagai peneraju global dalam industri halal.

“Inilah usaha kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan mengangkat jenama halal Malaysia di persada dunia,” jelas beliau.

Sumber: Facebook TPM

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi