29 November 2024, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam!”

(Surah Ali ‘Imran 3:102)

Takwa berasal daripada perkataan qawa bermaksud memelihara. Ibn Manzur dalam Lisan al-‘Arab menjelaskan bahawa takwa bermaksud berhati-hati atau memelihara diri daripada segala perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya. Ilmuwan Islam mengumpamakan takwa seperti seseorang yang berhati-hati ketika melalui di kawasan yang berduri. Umumnya takwa boleh ditakrifkan sebagai pengabdian menyeluruh seorang hamba kepada Tuhannya merangkumi perkara zahir dan batin. Manusia yang paling bertakwa disifatkan sebagai manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT, digelar sebagai golongan muttaqin dan Insya-Allah akan diganjarkan kebaikan dunia dan akhirat.

Umat Islam, terutamanya kaum lelaki diingatkan pada setiap kali menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha agar mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dan menjadikan takwa sebaik-baik bekalan untuk dibawa bertemu Ilahi – sebaik-baik pakaian yang menghiasi diri dalam kehidupan. Ayat 102 Surah Ali ‘Imran tersebut menunjukkan kepentingan takwa dalam kehidupan. Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar kekal bertakwa hingga akhir hayat.

Mukmin yang bertakwa akan bersungguh-sungguh melakukan perkara kewajipan dalam agama serta berusaha menjalinkan hubungan baik sesama manusia atas dasar tanggungjawab kepada Yang Maha Esa. Takwa membuahkan nilai murni, mendekati yang halal, menjauhi yang haram, melahirkan Mukmin yang berkeperibadian mulia, berintegriti, beramanah dan menyemai sifat ikhlas sehingga meletakkan segala perbuatan di dunia bertujuan semata-mata untuk meraih keredaan Allah SWT.

Rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar bertakwa pada setiap masa dan keadaan berpandukan hadis yang berikut:

MAksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan iringilah kejahatan dengan amalan kebaikan nescaya (kebaikan itu) menghapuskan (kejahatan) dan berakhlaklah sesama manusia dengan akhlak yang baik.”

(Hadis riwayat al-Tarmizi)

Yang berikut merupakan beberapa kesan takwa dalam kehidupan:

Pertama: Mendorong kejujuran dan integriti: Takwa menjadikan seseorang lebih jujur, beramanah dan berintegriti. Mukmin yang bertakwa sedar bahawa Allah Maha Mengetahui apa-apa yang tersembunyi dalam hatinya dan apa-apa yang dilakukan dan menghalangnya daripada melakukan penipuan dan penyelewengan.

Kedua: Mendidik kesabaran dan kekuatan menghadapi cabaran hidup: Orang yang bertakwa akan menghadapi ujian dan cabaran hidup dengan kesabaran dan kekuatan. Mereka percaya bahawa segala yang berlaku merupakan ketentuan Allah dan setiap kesulitan pasti ada hikmah di sebaliknya.

Ketiga: Menghindarkan diri daripada sifat mazmumah: Takwa melindungi Mukmin daripada sifat mazmumah seperti riak, megah, sombong, hasad dengki, tamak dan haloba. Orang yang bertakwa akan sentiasa menjaga hati dan perilaku mereka agar tidak terjebak dalam sifat yang merugikan diri sendiri serta orang lain.

Keempat: Mencapai kedamaian dan kebahagiaan hakiki: Takwa ialah jalan yang membolehkan seseorang merasakan ketenangan dan kebahagiaan hakiki dalam hidup. Orang yang bertakwa sentiasa reda dengan ketentuan Ilahi, tidak terlalu mengejar duniawi yang bersifat sementara, dan sentiasa merasakan kehadiran Allah dalam setiap langkah hidupnya.

Kelima: Menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat: Mukmin bertakwa akan menjadi contoh teladan kepada masyarakat sekeliling. Mereka akan sentiasa menjaga akhlak, menghormati orang lain dan membantu orang yang memerlukan. Orang yang bertakwa juga pasti tidak akan membiarkan kemungkaran berlaku di sekelilingnya.

Takwa yang disemai dengan benar, tulus dan ikhlas kerana Allah SWT akan menghiasi Muslim dengan nilai murni terutamanya memiliki sifat malu dalam diri. Sifat malu yang terbit daripada ketakwaan berupaya mencegah Mukmin daripada melakukan perkara keji dan mengaibkan. Umat Islam diingatkan tentang akibat hilangnya perasaan malu. Rasulullah SAW menyifatkan seseorang yang hilang perasaan malu akan berbuat apa-apa sahaja yang dimahukan dan sudah pasti hal demikian amatlah dikeji di sisi Allah SWT berpandukan hadis:

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang diperoleh (dipelajari) oleh manusia sejak daripada seruan awal para rasul; ‘Jika kamu tidak merasa malu, buatlah apa-apa yang kamu mahu!’”

Pada hakikatnya, umat Islam kini semakin kurang memiliki sifat malu sehingga tergamak melakukan pelbagai kemungkaran. Para wanita tanpa segan silu memperlihatkan aurat dan tubuh badannya, berjoget dan menari lalu dijadikan bahan kandungan di media sosial. Tanpa segan silu, tanpa rasa malu kepada Tuhan dan jauh daripada rasa berdosa, segelintir umat Islam, bersifat tamak, berperangai rakus, sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk merebut kekayaan dan mencari pengaruh; berlaku dalam pelbagai bidang tugas dan pekerjaan, merangkumi sebahagian agamawan, ahli politik, penjawat awam dan pekerja swasta.

Punca lahirnya perbuatan salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat, merupakan natijah daripada pengabaian perintah takwa dan terhakisnya perasaan malu. Malangnya, budaya rasuah dan salah guna kuasa dijadikan kebiasaan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian, dan dilaporkan semakin berlaku dan merebak.

Sikap tidak beramanah, rasuah, penyelewengan dan budaya sogok-menyogok semakin berani dan terang-terangan melalui sindiket dan perancangan yang tersusun. Hal ini memperlihatkan kelompangan dan kelemahan sistem kawalan sedia ada, juga kurang ketegasan begitu juga keberanian, berlakunya pilih kasih ketika menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah rasuah dan mendakwa serta menjatuhkan hukuman kepada mereka yang bersalah.

Kesimpulannya, takwa merupakan asas, akar dan pokok keimanan yang mendekatkan seorang hamba kepada Allah. Jadikan takwa sebagai pakaian dalam kehidupan. Takwa berupaya membimbing hati nurani untuk mudah melakukan amal soleh dan gentar melakukan larangan Tuhan. Melalui sifat takwa, kehidupan lebih diberkati, membuka pintu rezeki dan membentuk kelakuan murni, bersifat membela kebenaran, menjauhi perbuatan mungkar, sehingga menciptakan hidup yang lebih bermakna dan diredai Ilahi.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 29 November 2024, bertajuk “Keindahan Takwa”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.