Oleh Salmiyah Harun
24 November 2024, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di negeri Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kutipan zakat di negeri Selangor amatlah penting untuk berada pada jumlah yang signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat.

Katanya, jumlah penduduk beragama Islam di negeri Selangor yang melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin yang meningkat memerlukan jumlah dana agihan yang tinggi.

Sehingga September 2024, terdapat 71 000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah dan cara yang wajar.

Pengarah JAIS Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad

“Jika dana zakat di negeri Selangor dikutip dan diagihkan dengan cara melanggari ketetapan yang dibuat, hal ini bakal mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum, bahkan akan menyebabkan berlakunya ketirisan dan kekangan dalam menjamin sustainabiliti pembangunan rohani serta sosio ekonomi umat Islam di negeri Selangor.” Ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata umat Islam yang berkewajipan mengeluarkan zakat atau fitrah hendaklah memastikan hanya membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh MAIS.

Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad juga berkata, Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan didenda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya terhadap amil zakat tanpa tauliah.

Malah, undang-undang tersebut turut akan dikenakan kepada pihak yang memberi laluan atau membenarkan perbuatan mengutip tanpa tauliah.

“JAIS mengingatkan bahawa perbuatan membayar zakat kepada pemungut zakat tidak ditauliahkan MAIS adalah suatu perbuatan tidak melepaskan kewajipan zakat wajib”

“Perkara ini jelas dan selaras dengan ketetapan hukum oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 8 Ogos 2024 yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor”

“Menerusi ketetapan itu, pembayaran zakat dibuat kepada individu atau badan lain yang tidak diberi kuasa sah itu adalah tidak sah dan pembayarnya masih tidak terlepas daripada kewajipan membayar zakat itu.” Tambahnya.

JAIS telah pun mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh negeri Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November 2024 yang lalu.

JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak yang menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.

“Perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak  melepaskan kewajipan zakatnya”

“Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah MAIS dilakukan oleh individu atau pihak terbabit.” Jelas beliau.

Dalam perkara ini, katanya seluruh umat Islam dan semua pihak hendaklah memberi sokongan dan kerjasama penuh terhadap peraturan yang berkuatkuasa dan hukum yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama mengenainya.

Justeru katanya, ketaatan kepada ulil amri atau pemerintah dalam perkara kebaikan adalah suatu yang telah diputuskan dalam Islam dan mencakupi segala urusan termasuk urusan kutipan zakat.

 

Kredit Foto: Facebook Jabatan Agama Islam Selangor- Rasmi
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.