Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTerdapat satu perkataan yang indah dalam al-Quran, iaitu “tartil” yang bererti perlahan. Kata tartil sering dikaitkan dengan teknik pembacaan al-Quran secara perlahan di samping membacanya dengan bertajwid serta menghayati makna setiap ayat dalam al-Quran.
Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kata tartil bukan terbatas pada maksud perlahan, bahkan kata ini diambil daripada kata رتل yang asalnya bererti ketersusunan dan keharmonian (tanasuq). Tatkala berubah menjadi tartil (ترتيل), kata tersebut merangkul kembali makna perlahan menyusun kata – yang tergabung dengan ketelitian menyebut batas harakat dan tanda baca. Pendek kata, tartil menjadikan kita membaca al-Quran dengan penuh ketelitian, tidak terkejar-kejar, berdisiplin dan lebih peka.
Sebenarnya, daripada konsep tartil inilah kita dapat belajar tentang seni menikmati hidup dengan perlahan (slow living). Keperlahanan pada akhirnya akan menjadikan kita lebih harmoni, seimbang, peka dan lebih teliti untuk merayakan pelbagai perkara kecil dalam hidup. Inilah hal yang menjadikan kita lebih bersyukur dalam kehidupan.
Nasihat tentang tartil ini pada hakikatnya sudah lama disebarkan di negara Eropah. Pada bas awam yang lalu-lalang di sekitar kota memaparkan nasihat berkenaan dengan hidup dengan perlahan – dari segi tidak terlalu terburu-buru dalam hidup seperti dalam pekerjaan dan sebagainya.
Pergelutan yang dihadapi oleh banyak orang pada hari ini ialah hidup dalam kekalutan, iaitu terlalu kalut melakukan kerja dan ingin menyiapkan segera segala-galanya sehinggakan kerja yang dibuat itu hanya sekadar buat, tidak lagi membawa sebarang makna kepada diri dan masyarakat.
Kita juga begitu terburu-buru mengejar segala hal yang tular sehingga menjadikan diri tergolong dalam kalangan yang mengalami gejala takut terlepas (fear of missing out). Adakalanya kita tidak pernah sedar bahawa kita sedang hidup dalam keadaan takut ketinggalan dalam banyak hal. Ketika itulah kita seharusnya memaknakan maksud tartil lalu mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Sepatutnya, kita memperlahankan sedikit langkah dalam mengejar hal yang tidak terlalu penting. Ubah cara hidup yang terlalu menekan diri kita dari pelbagai arah sebelum ini. Berilah waktu untuk diri kita bertenang dan menikmati hidup ini.
Andai direnungi sirah Nabi Muhammad SAW, maka kita akan temukan pesanan Tuhan kepada Baginda agar perlahan-lahan memaknakan wahyu ketika emosi sedang tidak tentu arah. Pada saat Rasulullah SAW berada pada titik terendah, wahyu turun dengan begitu tiba-tiba sehingga Baginda ketakutan dan keresahan. Tambahan lagi, ketakutan dan keresahan yang dirasai itu menyebabkan Baginda meminta isterinya Khadijah r.a. untuk menyelimuti tubuhnya. Kemudian, Allah SWT menurunkan wahyu yang ditunggu-tunggu.
Allah menyeru Nabi Muhammad SAW sebagai muzzammil dan muddassir yang bermaksud orang yang berselimut. Allah SWT turut menurunkan beberapa ayat untuk memujuk dan memberikan tunjuk ajar buat Baginda. Dalam ayat itulah terselitnya satu ayat yang indah, iaitu dalam Surah al-Muzzammil ayat 4 yang bermaksud, “Bacalah al-Quran dengan tartil.” Begitulah akrabnya hubung kait antara kata tartil dengan keadaan emosi Baginda.
Terdapat lima objektif utama yang menjadi sebab untuk kita memaknakan konsep tartil lalu mula perlahan menikmati hidup.
Pertamanya, konsep tartil menjadikan kita lebih peka.
Kedua, hidup kita akan berteraskan niat.
Ketiga, kita mula membina hubungan yang baik dengan diri sendiri.
Keempat, kita belajar menjadi hamba yang lebih bersyukur.
Kelima, hidup akan lebih padat dengan makna.
Apa salahnya jika kita mula belajar untuk memperlahankan segala hal dan menikmati hal kecil serta sederhana yang sentiasa bergerak di sekitar kita. Mulalah untuk menikmati hidup yang tidak padat dan sedikit santai, lalu kita mula mencerap lebih banyak makna dalam kehidupan.