Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Cadangan penambahan bilangan 1500 orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan dilaksanakan pada tahun hadapan sebagaimana yang telah diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerai, YB Tuan Sabri Azit dalam sidang Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata,
Penambahan (guru) tersebut akan dapat menangani isu kekurangan guru, pertambahan murid dan pembukaan kelas murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Selain itu, jumlah keseluruhan bilangan guru KAFA setakat tahun ini adalah sebanyak 35 000 orang dan penjajaran nisbah seorang guru kepada 30 orang murid bertujuan untuk memastikan elemen keberkesanan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam mempertingkat dan memperkukuh kualiti pendidikan KAFA supaya kekal relevan dengan perkembangan semasa selaras dengan falsafah pengajiannya, iaitu membentuk generasi khair al-ummah.
Menurut beliau, pelbagai usaha dan pendekatan giat dijalankan melalui aspek tadbir urus dan penyelarasan, program latihan kompetensi perguruan, semakan kurikulum dan kokurikulum secara berkala, penambahbaikan sistem penilaian prestasi murid dan lain-lain.
Ujar beliau,
Selain itu, bermula pada tahun 2025, peperiksaan KAFA pratahfiz akan dilaksanakan di premis KAFA terpilih dan murid (yang terlibat) dianugerahkan sijil KAFA pratahfiz yang menjadi nilai tambah kepada sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) sedia ada.
“JAKIM akan terus mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan KAFA supaya kekal dinamik dan berdaya saing.
“Usaha ini selaras dengan matlamat pendidikan Islam untuk melahirkan insan berilmu, berakhlak dan mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Tenggara, YB Tuan Manndzri Nasib berkaitan dengan mekanisme tapisan bagi pengambilan guru KAFA supaya mereka berpegang dengan Ahli Sunah Waljamaah.
“Dalam konteks memastikan murid yang dibangunkan dalam pendidikan KAFA menerima pendidikan agama yang sebenar dari sudut asasnya, maka sudah tentu tapisan awal yang dibuat dalam pemilihan guru-guru KAFA sangat penting”, tegasnya.
Malah, sekiranya pelantikan guru KAFA tidak ditapis serta tidak memahami konteks pembangunan para pelajar dalam pendidikan KAFA yang menjurus kepada Ahli Sunah Waljamaah, maka sudah tentu mereka akan mencacatkan usaha dan falsafah pendidikan KAFA.
Justeru, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan menilai dan melaksanakan proses yang teliti agar guru KAFA yang dilantik untuk mengajar benar-benar memahami dan mengikuti aliran Ahli Sunah Waljamaah.