Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 7 November 2024, 21:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam sidang Dewan Rakyat semalam memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membangunkan sistem pelaporan berpusat yang membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindak balas segera.

Perkara ini disebabkan pihaknya menyedari terdapat keperluan penambahbaikan segera dalam prosedur operasi standard pelaporan untuk menangani isu ajaran sesat dalam negara seperti kes Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), khususnya tindakan eksploitasi kanak-kanak dan wanita yang didedahkan baru-baru ini.

Oleh itu, penyelarasan aduan telah dilaksanakan secara strategik antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN).

Menurut beliau, kerajaan menerusi JAKIM sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pembangunan dan kemajuan Islam di negara ini sentiasa melaksanakan pendekatan yang strategik untuk memastikan fahaman menyimpang atau ajaran salah dapat dibendung secara tuntas.

JAKIM juga berperanan merancang dan melaksanakan kajian hukum dalam bidang akidah khususnya ajaran sesat dan ekstremis yang berpaksikan agama.

Dalam pada itu, JAKIM melaksanakan kolaborasi strategik bersama-sama agensi pada peringkat Persekutuan dan negeri seperti Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN), JAIN, Jabatan Mufti Negeri-negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendakwaan Syariah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri secara menyeluruh serta konsisten hingga hari ini.

Beliau berkata,

Selain itu, JAKIM turut memperkasakan penyelarasan tindakan penguatkuasaan melalui jawatankuasa sedia ada dengan JAIN dan agensi berkaitan pada peringkat Persekutuan, antaranya Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diselaraskan di setiap negeri dengan lebih mantap.

Di samping itu, kerjasama sedia ada antara agensi seperti JKM, PDRM dan pihak berkuasa agama negeri dipertingkatkan untuk tindakan lebih pantas, manakala petugas barisan hadapan diberikan latihan khas untuk mengenali tanda eksploitasi.

“Kesemua langkah ini penting bagi memastikan setiap laporan yang diterima mendapat perhatian segera demi melindungi kanak-kanak, wanita dan semua yang sering terdedah kepada pelbagai ancaman dan eksploitasi,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan sentiasa berbincang dan mengadakan libat urus dengan ketua pegawai penguat kuasa agama negeri untuk memastikan sesuatu tindakan yang diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan di bawah perundangan syariah selaras dan seragam.

Sebagai contoh, suatu mesyuarat penyelarasan berkaitan dengan pelan tindakan penguatkuasaan terhadap GISBH bersama ketua pegawai penguat kuasa agama negeri-negeri di Malaysia telah dilaksanakan.

Antara perkara yang telah diputuskan dalam mesyuarat tersebut termasuklah pembangunan modul pemulihan dan pusat pemulihan akidah yang diterajui oleh JAKIM; semakan perkahwinan yang diterajui oleh JAIN dan bantuan zakat kepada mereka yang memerlukan daripada JAWHAR dan MAIN.

Kredit Foto: Facebook Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi