Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam suatu kenyataannya semalam mengundang orang ramai bersama-sama menghadiri Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari Antarabangsa 2024 yang akan berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya bermula 10 November 2024 hingga 21 November 2024.
Penganjuran majlis tersebut merupakan suatu peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menyelami khazanah ilmu yang agung dan meraih hikmah yang tidak ternilai, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam di negara ini.
Selain itu, program tersebut sangat istimewa kerana bakal menghimpunkan para ulama serta ilmuwan tersohor dari dalam dan luar negara untuk menyampaikan syarahan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap hadis sahih al-Bukhari.
“Program ini adalah antara usaha Kerajaan MADANI untuk menjunjung tinggi syiar agama Islam dan memperkukuh penghayatan ilmu dalam masyarakat.
“Program ini bukan sahaja sebuah perhimpunan ilmu, tetapi juga platform menyuburkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, selari dengan prinsip kerajaan MADANI yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan kemajuan berteraskan nilai Islam,” ujarnya lagi.
Program tersebut merupakan anjuran bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan al-Taibah, Pertubuhan ISLAMI dan badan bukan kerajaan.