Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 25 Oktober 2024, 20:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hari ini menerusi kenyataannya di laman Facebook memaklumkan perkara berkaitan dengan status penggunaan sijil halal yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengkajian Pangan, Obat-obatan, dan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia (LPPOM MUI) bagi tujuan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Penggunaan sijil halal LPPOM MUI bagi tujuan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia hanya dibenarkan dan diterima hingga 31 Disember 2024,” katanya.

Logo halal oleh LPPOM MUI (kiri) yang digunakan sebelum ini dan logo baharu (kanan) yang diperkenalkan oleh BPJPH di Republik Indonesia.

Justeru, Sijil Pengesahan Halal dari Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Kementerian Agama Republik Indonesia sahaja diterima bagi tujuan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia bermula 1 Januari 2025.

Hal ini selaras dengan hebahan yang dikeluarkan sebelum ini pada 1 Mac 2022, iaitu BPJPH merupakan badan berautoriti terkini bagi pensijilan halal di Republik Indonesia.

Terdahulu, LPPOM MUI yang telah ditubuhkan oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) merupakan satu-satunya badan di Republik Indonesia yang bertanggungjawab melakukan audit dan kajian halal terhadap sesuatu produk serta mengeluarkan Sijil Halal MUI pada awalnya.

Walau bagaimanapun, peranan utama dalam pensijilan halal kemudiannya diambil alih oleh BPJPH pada Oktober 2017 berdasarkan Undang-undang Nomor 33 Tahun 2014 tentang Jaminan Produk Halal (JPH) di Republik Indonesia, manakala peranan LPPOM MUI lebih terbatas dalam proses pemeriksaan dan audit halal serta menjadi rakan utama BPJPH dalam bidang fatwa halal.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi