Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 18 Oktober 2024, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Beberapa sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan seperti Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Ketua Pendakwa Syarie, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri telah diadakan bagi memastikan proses pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dilaksanakan secara teliti dan menyeluruh.

Sesi libat urus tersebut juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan akta yang telah dicadangkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Haji Ahmad Saad dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Malah, sesi libat urus yang menyeluruh telah diadakan bersama-sama Badan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam turut melaporkan bahawa sesi libat juga melibatkan badan bukan Islam seperti Christian Federation of Malaysia, National Evangelical Christian of Fellowship of Malaysia, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Sri Maha Mariamman Temple, Malaysia Hindu Sangam, Unit Hal Ehwal Agama-agama Jabatan Premier Sarawak dan beberapa badan yang lain.

Usaha tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengambil kira penerangan dan pencerahan yang diberikan mesti bersifat inklusif dan merangkumi keseluruhan masyarakat.

Sesi libat urus ini akan diteruskan agar semua pihak memahami bahawa pindaan akta tersebut bukan bersifat politik, tetapi bertujuan untuk memartabatkan dan mengangkat institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia.

Beliau berkata,

Semasa Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah di Malaysia pada 15 Julai 2024, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyatakan bahawa pindaan pada akta ini hendaklah dibuat dengan teliti supaya akta tersebut menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua negeri, mufti dan ulama.

Ujar beliau lagi,

Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak pada 30 Julai 2024 telah bertitah supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memberikan taklimat tentang cadangan pindaan kepada akta ini dalam Mesyuarat Agama Islam Negeri-negeri bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu.

Di samping itu, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam akan meneliti cadangan pindaan akta tersebut, seterusnya laporan hasil kajian akan diambil kira.

Cadangan pindaan yang akan dilaksanakan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan.

Kemudian, pindaan akta tersebut dikemukakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk persetujuan dasar sebelum dibentangkan di Parlimen.

Bahkan, pindaan akta tersebut akan dibawa ke Parlimen bersama-sama suatu akta baharu, iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) dengan tujuan memperkasakan mahkamah syariah.

Jelas beliau,

Kedua-dua rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri bagi memastikan hasrat untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.

Beliau turut menegaskan bahawa RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bukan sahaja diberikan penerangan, tetapi keseluruhan aspek mahkamah syariah diberikan perhatian termasuk pertindihan dan konflik bidang kuasa.

Kredit Foto: Facebook - YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi