Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kemajuan dan kekuatan umat Islam tidak terletak pada kejayaan material atau kebendaan semata-mata, tetapi juga berdasarkan kekuatan spiritual dan moral.
Demikian menurut Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2024/1446 peringkat DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.

Justeru, perpaduan dan akhlak yang mulia merupakan perkara penting dalam perjuangan Rasulullah SAW untuk membangunkan umat Islam.
YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan berkata,
Keberanian Rasulullah SAW dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa berada di Makkah dan juga peringkat awal di Madinah menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan untuk membangunkan umat memerlukan kekuatan iman, komitmen yang tinggi dan kesabaran.
Selain itu, beliau memetik ayat 21 Surah al-Ahzab yang menyatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW dilahirkan sebagai suri teladan yang mempunyai nilai yang baik untuk dicontohi dari sudut akhlak, kepimpinan, budi bahasa dan sebagainya.
Ujar beliau lagi,
Dalam jiwa kita terdapat empat mutiara; pertama ialah agama, kedua ialah akal, ketiga ialah amar makruf dan keempat ialah rasa malu.
Sekiranya kita dapat menjaga empat mutiara tersebut dalam kehidupan kita, saya percaya kita akan menjadi insan yang bermakna dan dapat memberikan sumbangan bukan sahaja kepada diri dan keluarga, tetapi dalam masyarakat dan organisasi.
Jika kita tidak menjaga empat mutiara ini, maka kita akan tergelincir daripada landasan hidup yang sebenar.
Satu daripada misi utama Rasulullah SAW adalah membentuk masyarakat yang berpegang teguh pada prinsip keadilan, kasih sayang dan kebajikan.
Hal ini terbukti apabila Baginda SAW berjaya memimpin sebuah masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya di Madinah menerusi pengasasan Piagam Madinah, iaitu suatu piagam yang bermakna pada peringkat awal tamadun manusia kerana berlandaskan tauhid.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa tiada senjata lain yang lebih ampuh untuk menghadapi dunia kini yang sedang bergolak melainkan masyarakat perlu bersatu dan menguasai ilmu pengetahuan bersesuaian dengan penubuhan DBP sejak tahun 1956 dalam penerbitan buku pengetahuan untuk memandaikan bangsa supaya dapat bersaing pada peringkat global, seterusnya menjadi bangsa yang kuat dan bertamadun.
Sebagai umat yang mengaku mencintai Rasulullah SAW, maka menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk meneruskan legasi perjuangan Baginda SAW bagi memperkukuh perpaduan, meningkatkan nilai akhlak dan memajukan masyarakat.
Beliau turut berpesan kepada semua karyawan DBP untuk menghayati sirah perjuangan Rasulullah SAW dan merenungi peranan masing-masing yang boleh disumbangkan demi membangunkan umat pada zaman ini.