Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Oktober 2024, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2024/1446 Peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) anjuran Bahagian Komunikasi Korporat dengan kerjasama Surau al-Hukama’ DBP, Badan Keluarga DBP dan PUSPANITA DBP menjadi platform bagi karyawan DBP untuk menghayati perjuangan Rasulullah SAW.

Majlis tersebut telah disempurnakan dengan ucapan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.

Antara pengisian program tersebut termasuklah alunan selawat dan persembahan qasidah daripada kumpulan Qasidah al-Yamani yang dipimpin oleh YBrs. Dr. Ustaz Ahmad al-Yamani.

Persembahan qasidah daripada kumpulan Qasidah al-Yamani dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2024/1446 di DBP, semalam.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa setiap karyawan DBP perlu meneladani akhlak Rasulullah SAW dengan bersikap amanah, rajin, bertanggungjawab, ihsan dan berintegriti semasa melaksanakan tugas.

Ujar beliau,

Dengan mengambil semangat maulidur rasul, kita bertugaslah dengan sebaik mungkin, amanah yang diberikan oleh kerajaan untuk kita mendaulatkan bahasa kebangsaan hendaklah dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan sesama kita biarlah hubungan silaturahim terus dipererat kerana pasukan yang kuat itu datang daripada silaturahim yang teguh.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Selain itu, ceramah khas yang bertajuk “Perjuangan Rasulullah SAW Membangun Umat Bertakwa” disampaikan oleh penceramah bebas dan personaliti terkenal, iaitu YBrs. Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau dikenali sebagai Imam Muda Hassan.

Dalam sesi ceramah tersebut, beliau berkongsi tiga strategi dan pendekatan Rasulullah SAW untuk membangunkan umat bertakwa, iaitu kepentingan pendidikan dan keilmuan berasaskan wahyu, keperibadian yang memiliki akhlak mulia, serta pembinaan persaudaraan dan ukhuwah islamiah sebagai asas kekuatan umat Islam.

YBrs. Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau dikenali sebagai Imam Muda Hassan ketika menyampaikan ceramahnya.

Di samping itu, sumbangan barangan keperluan asas kepada 30 orang penerima dalam kalangan karyawan DBP dan Koperasi DBP yang terpilih telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Rethwan dengan diiringi Ketua Pengarah DBP dan Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2024/1446 Peringkat DBP merupakan program tahunan DBP yang bermatlamat untuk meningkatkan rasa kecintaan dan kasih warga DBP kepada Rasulullah SAW dan pelaksanaannya selaras dengan acara rasmi kerajaan yang disambut pada setiap tahun pada peringkat persekutuan dan negeri.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan (dua dari kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada YBrs. Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya (dua dari kanan).

Sambutan ini bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, tetapi wadah terbaik untuk meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunah Baginda SAW selain merapatkan silaturahim dalam kalangan warga DBP dengan masyarakat sekeliling.

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M Azahari Edin, Pengerusi Surau al-Hukama’ DBP, YBrs. Tuan Syed Mashor Syed Mustapha, Pengerusi Badan Keluarga DBP, YBrs. Encik Rusman Yaacob, Pengarah-pengarah DBP Cawangan dan Wilayah, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua Unit dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi