Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 Tahun 1446H/2024M yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mula membuka tirainya pada semalam dan akan berlangsung selama lapan hari hingga 12 Oktober 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Majlis Perasmian dan Pembukaan MTHQA Ke-64 telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang bagi acara tilawah dan hafazan al-Quran pada 12 Oktober 2024.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam suatu kenyataannya berkata, Malaysia terkenal dengan kecemerlangan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize of Holy Quran.
Penganjuran MTHQA pada tahun ini terdiri daripada dua kategori yang dipertandingkan, iaitu acara tilawah al-Quran secara tartil dan hafazan al-Quran 30 juzuk.
Selain itu, MTHQA pada kali ini melibatkan sebanyak 92 orang peserta dari 71 buah negara secara keseluruhannya yang telah berjaya melepasi sesi ujian saringan kelayakan oleh barisan jemaah hakim.
Kategori tilawah al-Quran disertai oleh 53 orang peserta dari 41 buah negara, manakala kategori hafazan al-Quran disertai oleh 39 orang peserta dari 36 buah negara, termasuk empat orang peserta dari Malaysia, iaitu dua orang peserta tilawah dan dua orang peserta hafazan.
Di samping itu, penjurian MTHQA pada tahun ini juga dihakimi oleh sebanyak 15 orang hakim dari pelbagai negara seperti Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan Indonesia.
Penghakiman bagi kategori tilawah al-Quran akan dinilai dari aspek tajwid, taranum, fasahah dan suara, manakala bagi kategori hafazan al-Quran pula terdapat dua aspek tambahan penilaian, iaitu dari sudut hafazan dan kelancaran bacaan.
Sementara itu, johan bagi acara tilawah dan hafazan al-Quran akan menerima hadiah kepingan emas yang ditaja oleh pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM) bernilai sehingga RM 48,000.00, wang tunai oleh Kerajaan Malaysia, hadiah iringan, sijil dan cenderamata, manakala naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing akan membawa pulang wang tunai, hadiah iringan, sijil dan cenderamata, di samping pemenang sagu hati akan meraih wang tunai sebanyak RM3,000.00.
Penganjuran MTHQA secara tahunan menzahirkan komitmen pihak Kerajaan Malaysia untuk menerapkan budaya minat membaca al-Quran, memahami inti patinya serta melaksanakan tuntutan dan larangan Allah SWT dalam amalan kehidupan seharian.
Malah, MTHQA juga merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta pemerkasaan agenda pembangunan umat dan pembinaan generasi al-falah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Rakyat Malaysia dijemput beramai-ramai untuk hadir ke MTHQA Ke-64 dan boleh menyaksikan siaran tersebut secara langsung menerusi saluran media massa di TV1 RTM, TV AlHijrah, Radio IKIM, Radio Nasional FM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (radio Orang Asli) serta media sosial rasmi JAKIM seperti TV JAKIM, Facebook dan Tiktok JAKIM.