Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Imam Besar Masjidilharam, Makkah, Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli bakal bertandang dan mengadakan lawatan rasminya ke Malaysia pada 10 Oktober 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam hantaran di laman Facebooknya mempelawa umat Islam di seluruh negara untuk turut bersama-sama memeriahkan program yang telah dirancang bersama-sama imam besar masjid suci tersebut.
Beliau dijadualkan akan menyampaikan khutbah khas dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 11 Oktober 2024.
Pada sebelah malam pula, beliau akan menyampaikan tausiyah khas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam.
Tuan Yang Terutama Sheikh Dr. Maher Hamad al-Muaiqli, 55, dilahirkan di Madinah pada 7 Januari 1969 dan dikenali sebagai seorang yang memiliki suara yang merdu dan bacaan al-Quran yang sempurna.
Selain itu, beliau pernah memimpin solat di Masjid Nabawi, Madinah pada bulan Ramadan selama hampir dua tahun, iaitu bermula pada tahun 2005 hingga tahun 2006 sebelum dilantik secara rasmi menjadi imam di Masjidilharam pada tahun 2007 hingga kini.
Beliau juga pernah menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat pada Hari Arafah di Masjid Namirah semasa musim haji pada tahun 2024, dan merupakan khatib ke-15 dalam kalangan senarai para khatib Hari Arafah yang telah diperkenankan oleh Raja Arab Saudi sepanjang pemerintahan Bani Saud.
Beliau memperoleh ijazah kedoktoran dengan keputusan cemerlang dan mendapat penghormatan kelas pertama dalam bidang Fiqh Mazhab Syafii pada tahun 2012 daripada Universiti Umm al-Qura dengan kajian penyelidikan tentang kitab Tuhfat al-Nabih Syarh al-Tanbih dalam bab Hudud dan Kehakiman karya Imam al-Syirazi.
Kini, beliau bertugas sebagai Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Kehakiman, Fakulti Pengajian Kehakiman dan Sistem di Universiti Umm al-Qura dan memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Ilmiah.