3 Oktober 2024, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap 108 suspek yang disyaki terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Berhad (GISBH) mendapati wujud beberapa fakta amalan dan kepercayaan mereka bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, amalan tersebut termasuklah mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan dapat memberikan faedah kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.

“Amalan dan kepercayaan lain yang bercanggah juga adalah seperti mengamalkan Aurad Muhammadiah, mempercayai Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah mengangkat Abuya, dan Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis tertentu anjuran kumpulan,” jelas beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan dan akad perkahwinan dijalankan dengan cara yang ditentukan oleh pemimpin.

Tambahnya, dapatan siasatan menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dengan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa.

Beliau berkata, situasi dan keadaan ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak ahli kumpulan tersebut.

“Perkara ini dijangka memberikan kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak,” katanya.

Jelas beliau, tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah.

Beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah dan sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar daripada 435 orang kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Katanya lagi, siri tangkapan ini juga dijangka akan berterusan melibatkan suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihaknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.