Diterbitkan pada 20 September 2024, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan anak panah ialah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Maka, jauhilah (semua perbuatan) itu agar kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah 5:90)

Dalam bahasa Arab, judi disebut sebagai al-maisir atau al-khamar merupakan antara permainan pertaruhan menggunakan anak panah yang dilakukan oleh masyarakat Arab jahiliah. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan perkataan judi sebagai permainan yang memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. Al-Mawardi mendefinisikan judi ialah pertandingan yang membawa kerugian kepada pihak yang tewas apabila terpaksa menyerahkan hadiah pertaruhan kepada pihak yang menang.

Ayat tersebut menunjukkan larangan berjudi oleh Allah SWT yang disifatkan sebagai perbuatan keji dan wajib dijauhi oleh umat Islam. Larangan berjudi diletakkan sebaris dengan kegiatan haram yang lain seperti minum arak, memuja berhala dan menilik nasib.

Ilmuwan Islam bersepakat bahawa berjudi merupakan perbuatan haram di sisi syarak dan pelakunya berdosa besar. Segala bentuk permainan yang mensyaratkan taruhan sejumlah wang atau barang tertentu, kemudian hadiah taruhan menjadi milik pemenang setelah dilakukan proses undian, pertandingan atau dengan cara apa-apa sekali pun, baik secara nyata ataupun dalam talian, hukumnya tetap haram.

Kebelakangan ini, kegiatan perjudian bukan sahaja berlaku secara zahir di tempat perjudian tertentu, bahkan semakin aktif berlaku dalam talian. Sangat mendukacitakan apabila sukan yang merupakan aktiviti riadah untuk menyihatkan tubuh badan, turut dijadikan medan perjudian melalui kegiatan pertaruhan seperti meramal pasukan yang menang atau tewas, yang dianjurkan oleh sindiket perjudian. Lebih menyedihkan apabila ada sindiket perjudian yang menyogok penganjur, pengadil dan pemain, bertujuan untuk mempengaruhi sesuatu keputusan pertandingan. Perbuatan tersebut sangat bercanggah dengan semangat dan tujuan asal aktiviti bersukan.

Islam amat menitikberatkan soal kesejahteraan hidup umatnya serta menjamin kelangsungan nyawa, maruah, harta, akal dan keturunan. Kegiatan berjudi diharamkan oleh syarak kerana judi mengundang pelbagai kesan buruk yang menjejaskan kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Sesiapa yang berkata kepada sahabatnya, ‘marilah kita berjudi, bertaruh!’ Maka itu, hendaklah dia bersedekah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang kegiatan berjudi atau bertaruh sehinggakan seseorang yang mengajak kepada kegiatan tersebut disarankan bertaubat dan bersedekah sebagai penebus dosa.

Seksyen 26, Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992, memperuntukkan:

Sesiapa yang berjudi atau didapati hadir di tempat perjudian sama ada dia melakukan perjudian ataupun tidak, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diingatkan tentang beberapa akibat buruk daripada kegiatan berjudi seperti yang berikut:

Pertama: Menjejaskan sumber ekonomi dan harta.

Judi mendorong pelakunya mengejar kekayaan melalui jalan mudah tanpa perlu bekerja keras. Keuntungan yang diperoleh berdasarkan sumber yang haram, tidak mendapat keberkatan Ilahi. Dalam kebanyakan kes, berjudi mengakibatkan lebih banyak pelakunya mengalami kerugian, kehilangan harta, muflis, menjadi miskin dan menanggung hutang.

Kedua: Ketagihan dan penyakit jiwa.

Judi menyebabkan pelakunya ketagih; ingin terus bertaruh serta mengharapkan kemenangan yang tidak pasti, sekalipun pada hakikatnya sudah menanggung kerugian besar. Pelakunya dihimpit masalah psikologi, kemurungan dan mengalami tekanan sehingga menyebabkan penjudi hilang tumpuan semasa bekerja, terdesak memerlukan wang, yang boleh mendorong seseorang untuk banyak meminjam dan berhutang. Lebih teruk apabila seseorang sanggup menipu serta mencuri, memeras ugut, serta melakukan rasuah untuk mendapatkan wang bagi memenuhi ketagihan berjudi.

Ketiga: Mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Kegiatan berjudi melekakan pelakunya, banyak masa disia-siakan dan tanggungjawab terhadap keluarga diabaikan. Malah, perangai berjudi boleh menyebabkan berlaku perselisihan suami isteri, perceraian dan keruntuhan rumah tangga. Akibatnya, anak-anak menjadi mangsa.

Keempat: Merosakkan hubungan kemasyarakatan.

Judi sering membawa kepada pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan sesama manusia. Pelaku judi yang tidak dapat menerima kekalahan, berdendam dan sakit hati kepada pihak yang menang, boleh berakhir dengan perbuatan mencederakan pihak yang dianggap lawan, malah ada yang tergamak melakukan pembunuhan kerana kekecewaan dan kemarahan yang tidak dapat dikawal.

Insaflah. Kegiatan berjudi hukumnya jelas haram di sisi Islam kerana melibatkan unsur pertaruhan, menyebabkan kerugian yang tinggi serta mengundang pelbagai kemudaratan. Judi boleh memusnahkan sumber ekonomi, meleburkan nilai moral, mengganggu kestabilan hidup, memporak-perandakan keluarga dan rumah tangga, serta menghancurkan institusi masyarakat.

Umat Islam wajib menjauhkan diri daripada kegiatan berjudi dan sentiasa berikhtiar memastikan pendapatan diperoleh daripada sumber yang halal dan mengutamakan rezeki yang mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.


(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 20 September 2024, bertajuk “Judi Merosakkan Kehidupan”.)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi