Diterbitkan pada 20 September 2024, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memperkasakan ekosistem halal.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hal yang demikian sebagai penekanan dedikasi negara ke arah kecemerlangan dalam pensijilan halal.

“Perjalanan kita bermula secara sederhana dengan pengeluaran pensijilan halal pertama pada tahun 1974.

“Pada hari ini, Malaysia berdiri sebagai peneraju autoriti dalam kecemerlangan halal; menetapkan penanda aras dunia dalam pensijilan serta inovasi,” katanya ketika berucap pada hari kedua Sidang Kemuncak Halal Global 2024 (GHaS 2024) Kali Ke-14 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, petang semalam.

Tambah beliau, pensijilan halal merupakan perkara paling asas yang dibina atas dasar kepercayaan, ketelusan dan keyakinan melalui badan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang memainkan peranan penting dalam proses ini.

Katanya lagi, walaupun usaha JAKIM untuk memperkasakan pensijilan dan peraturan halal sesuatu yang terpuji, namun perkembangan pesat ekonomi halal memerlukan kerangka pengawalseliaan dan tadbir urus yang utuh.

“Tindakan mengembangkan lagi golongan pakar yang berkelayakan merupakan perkara yang mustahak untuk mempertahankan ketulenan serta integriti piawaian pada tahap yang tertinggi seiring dengan permintaan global yang semakin meningkat,” jelasnya.

Beliau menegaskan, pelaburan terhadap latihan profesional kepada generasi baharu dalam pensijilan halal penting sejajar dengan ekonomi halal yang semakin berkembang.

“Meskipun JAKIM masih menjadi pusat yang membimbing peralihan ini, penambahbaikan kerangka pengawalseliaan akan membantu menguruskan peningkatan permintaan secara efisien selaras dengan proses persijilan dan pengekalan amalan halal yang konsisten serta boleh dipercayai,” ujarnya lagi.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata,

Malaysia perlu memanfaatkan kemajuan teknologi seperti blockchain untuk menambah baik kerangka pensijilan halal negara seperti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Australia yang mampu meningkatkan ketelusan dan memerangi penipuan pensijilan halal.

GHaS 2024 merupakan anjuran Sekretariat Majlis Halal Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM.

Sidang kemuncak tersebut berlangsung selama tiga hari mulai 17 hingga 19 September 2024, menzahirkan komitmen JAKIM untuk terus memperkasakan dan memelihara imej pensijilan halal Malaysia agar kekal sebagai peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar; Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBrs. Dr. Haji Ruslan Said; Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, YBrs. Tuan Mohamad Zamri Mohamed Shapik; Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, YBrs. Ustaz Muhyiddin Haji Aziz@Haji Saari; delegasi asing dan pegawai kanan kerajaan persekutuan serta negeri.

Kredit Foto: Facebook JAKIM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi