Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Haji Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024/1446H.
Anugerah tersebut dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Majlis yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” ini merangkumi manifestasi daripada inti pati ajaran Rasulullah SAW yang sangat signifikan bagi memacu umat Islam di negara ini ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.
KDYMM Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan anugerah kepada enam orang lagi penerima anugerah, iaitu Datin Aminah Zakaria, Dato’ Ab. Jamal Tun Sakaran, Datin Paduka Profesor Dr. Khatijah Yusoff, Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Sariah Ibrahim dan Micheal Tong Wai Siong (Uncle Mike).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan isteri, DYMM Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah disambut oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, YBhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Sementara itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Facebook rasminya berkata, umat Islam wajar menjadikan murabbi terunggul dan teragung, iaitu Rasulullah SAW sebagai uswah hasanah.
“Nabi Muhammad SAW ialah murabbi yang wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian, bukan sahaja keperibadiannya, namun lebih daripada itu, pakej Rasullah SAW sebagai pemimpin negara, masyarakat dan keluarga, khususnya dalam konteks model Madinah di bawah payung kepimpinan beliau.
“Sehubungan dengan itu, cita-cita negara MADANI juga tidak lepas daripada mengambil ibrah dan model Piagam Madinah yang dipelopori oleh Baginda berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” katanya.