Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFirman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (mengesakan dan mematuhi perintah-Nya) dan dia sendiri mengerjakan amalan soleh sambil berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam (yang berserah sepenuhnya kepada Allah).’”
(Surah Fussilat 41:33)
Dakwah berasal daripada perkataan bahasa Arab da’a yang bermaksud kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Pendakwah yang digelar dai ialah orang yang menyampaikan dakwah. Dakwah dalam pengertian umum ialah usaha menyeru manusia agar beriman, mengesakan Allah SWT dan mentaati perintah-Nya; serta menghayati seruan Rasulullah SAW, membebaskan manusia daripada kesesatan agar menemui kebenaran; di samping membimbing manusia mengamalkan nilai murni.
Setelah Rasulullah SAW wafat, tugas berdakwah untuk menyampaikan kebenaran Islam tidak pernah terhenti, malah disambung oleh para sahabat hingga generasi berikutnya. Berdakwah merupakan kewajipan yang ditugaskan kepada umatnya selaras dengan sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Difahami daripada hadis tersebut bahawa kewajipan berdakwah tidak hanya terletak pada organisasi dan badan-badan tertentu atau golongan agamawan semata-mata, tetapi kewajipan berdakwah perlu dilaksanakan oleh semua umat Islam. Allah SWT telah memuliakan umat Nabi Muhammad SAW dengan panggilan khair ummah (sebaik-baik umat) apabila tugas berdakwah menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dapat dilaksanakan, selaras dengan seruan yang terkandung dalam firman Allah SWT:
Maksudnya: ”Kamu (wahai umat Muhammad) ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan kamu mencegah daripada melakukan segala perkara yang buruk dan keji (mungkar), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar beriman) … .“
(Surah Ali ‘Imran 3:110)
Sasaran dakwah atau dipanggil sebagai mad‘u terbahagi kepada dua, iaitu:
Pertama: Dakwah kepada Muslim, iaitu menumpukan usaha mengukuhkan lagi pegangan akidah Muslim dan mengajak mereka untuk mempertingkatkan amalan kebaikan, di samping tabah menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran.
Kedua: Dakwah kepada bukan Muslim, iaitu menumpukan usaha menerangkan kepada bukkan Muslim akan kebenaran Islam, khususnya kebenaran al-Quran dan perutusan Rasulullah SAW, serta meyakinkan mereka bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara untuk dihitung segala amalan di akhirat kelak.
Dakwah mesti dilaksanakan dengan kaedah yang betul, disusuli adab serta tidak mendatangkan fitnah kepada agama. Melalui firman Allah SWT yang berikut dijelaskan tiga kaedah berdakwah:
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan kamu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik … .”
(Surah al-Nahl 16:125)
Pertama: Dakwah secara berhikmah, iaitu dakwah yang ditunjangi ilmu yang benar, bersumberkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, serta menyerlahkan keindahan Islam dengan kaedah yang betul dan tepat. Pendekatan yang diambil dan kata-kata yang digunakan mestilah sesuai dengan sasaran dan keadaan dakwah. Namun begitu, berhikmah tidak bermakna bersifat mengalah dan beralah, kadangkala tertakluk kepada kesesuaian dan keadaan, iaitu sifat ketegasan turut diperlukan.
Kedua: Nasihat yang baik (mau‘izah hasanah), iaitu memastikan setiap tutur kata, ucapan dan huraian digunakan dengan cara yang terbaik, disampaikan daripada hati yang tulus ikhlas dan dizahirkan dengan akhlak yang murni agar perkara yang disampaikan boleh diterima dengan baik.
Ketiga: Berbahas dengan cara yang baik, iaitu menyampaikan hujah dan pembuktian kebenaran al-Quran menggunakan prinsip keadilan, berhemah, berbahas secara matang, dan menumpukan isi perbahasan sehingga berupaya menyerlahkan kebenaran wahyu yang diutus kepada Baginda Rasulullah SAW.
Medan dakwah menyeru umat Islam melakukan perubahan lazimnya menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan kerana perkara yang disampaikan oleh para pendakwah boleh menyebabkan timbul rasa tidak selesa pelbagai pihak yang tidak bersedia untuk berubah. Dakwah islamiah sifatnya menyanggah apa-apa yang dihiasi indah oleh hawa nafsu dan apa-apa yang dimanipulasikan benar oleh syaitan. Dakwah islamiah juga berusaha membanteras amalan jahiliah berunsur khurafat dan menyeru kepada pencegahan maksiat. Dipersendakan, diejek, dipulaukan atau dicederakan merupakan sebahagian daripada mehnah yang telah ditempuh oleh para rasul dan orang beriman terdahulu dalam usaha menyampaikan kebenaran. Walau apa-apa jua rintangan, para pendakwah hendaklah bersifat tabah, cekal dan yakin akan mendapat petunjuk dan lindungan daripada Allah SWT.
Lapangan medan dakwah amat luas. Walau di mana umat Islam berada, pamerkan akhlak yang baik, pelihara jati diri Muslim dan cerminkan keindahan Islam. Sikap dan sifat mulia serta watak dan tingkah laku murni seseorang Muslim itu ialah sebaik-baik dakwah kerana orang bukan Muslim akan mengenali Islam dan menghormati Islam melalui sikap dan sifat, serta watak dan tingkah laku yang diperlihatkan oleh seseorang Muslim.
Umat Islam jua disarankan agar memanfaatkan saluran media sosial untuk berdakwah dengan memuat naik kandungan berbentuk nasihat dan ilmu yang mencerminkan keindahan dan kemurnian Islam. Kerja dakwah yang berupaya dimartabatkan, Insya-Allah akan dapat meningkatkan martabat umat Islam. Sebaliknya, jika kerja berdakwah diabaikan, maka akan membawa pelbagai kesan buruk, antaranya termasuklah perlakuan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kemungkaran akan bertambah berleluasa. Maksiat yang tidak dibendung akan menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada cahaya Islam dan akhirnya menjadi lemah dan mundur sekalipun jumlahnya banyak.
Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan beberapa peringatan yang berikut:
Pertama: Berdakwah merupakan tugas yang mulia, iaitu kesinambungan daripada tugas para rasul.
Kedua: Setiap umat Islam diwajibkan melaksanakan tugas dakwah mengikut keupayaan masing-masing bermula dengan diri sendiri, dalam kalangan ahli keluarga, seterusnya melebarkan kepada rakan sekerja dan jiran tetangga.
Ketiga: Kaedah dakwah yang diguna pakai wajib bertepatan dengan anjuran syarak, tidak bergopoh-gapah, berhikmah dan dikembarkan dengan adab dan kesopanan, di samping memastikan kaedah dakwah tidak menimbulkan salah sangka dan fitnah kepada agama.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 6 September 2024, bertajuk “Kewajipan Berdakwah Tanggungjawab Ummah”)