25 Ogos 2024, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia terus bertegas mengulangi pendiriannya untuk menghentikan segala bentuk perdagangan langsung dengan Israel.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga perlu menggunakan kebijaksanaan untuk membangunkan kekuatan dalaman negara dan bukannya menentang secara semberono.

Menurutnya, pendirian Malaysia itu juga disuarakan secara berterusan dengan lantang pada peringkat antarabangsa kerana hal ini merupakan isu pembunuhan yang kejam.

“Sebagai kerajaan dan Perdana Menteri, saya tahu risikonya dan faktor keselamatannya terhadap negara.

“Kita perlu atur langkah dengan bijaksana supaya selamat dan tidak mengorbankan kepentingan negara,” jelas beliau dalam ucaptama pada Program Muktamar Masjid Semalaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara, pagi tadi.

Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin, YBhg. Datuk Seri Ahmad Awang semasa menyampaikan ucapan mukadimah.

Beliau berkata bahawa Barat tidak perlu mengajar Liga Dunia Islam tentang makna demokrasi, hak asasi dan kemampanan pembangunan, sebaliknya Barat perlu menghentikan usaha mengawal media antarabangsa semata-mata demi mengetengahkan naratif tidak tepat berhubung dengan peperangan di Palestin.

Tambah beliau, Barat juga perlu memperbetul naratif dan mengakui bahawa pergolakan di Palestin berlarutan sejak tahun 1948 bukan berpunca daripada serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

“Pemusnahan berterusan di Palestin telah berlaku sejak tahun 1948, diikuti pencerobohan langsung ke Masjid al-Aqsa pada tahun 1969, malah kini pemusnahan berterusan, sama ada infrastruktur atau manusia serta genosid,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin, YBhg. Datuk Seri Ahmad Awang dalam mukadimahnya berkata, muktamar yang julung-julung kali diadakan ini adalah sebagai tanda solidariti untuk Masjid al-Aqsa dan Palestin serta bersempena dengan sambutan Masjid Sedunia yang jatuh pada 21 Ogos pada setiap tahun.

YAB Perdana Menteri menyempurnakan gimik perasmian muktamar dengan diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan barisan tetamu kehormat yang lain.

“Sambutan ini adalah bagi memperingati peristiwa hitam pembakaran Masjidilaqsa pada tahun 1969 sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan yang besar terhadap masjid tersebut yang merupakan masjid mulia ketiga dalam Islam selain kiblat pertama umat Islam,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menjadikan sambutan Hari Masjid Sedunia sebagai sambutan acara rasmi di seluruh negara.

Sambutan Hari Masjid Sedunia turut dikenali sebagai al-Quds sebagai tanda solidariti umat Islam terhadap perjuangan pembebasan daripada cengkaman Zionis Israel.

Muktamar yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Muktamar turut disiarkan secara langsung melalui Facebook JAKIM, https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/videos/863247245357882.

Sumber: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.