Oleh Nadi Syaffi95
22 Ogos 2024, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bidang perniagaan sering dianggap sebagai lubuk rezeki yang menghasilkan banyak keuntungan. Namun begitu, banyak yang tidak menyedari bahawa perniagaan juga sebenarnya boleh menjadi ladang pahala yang sangat luas jika dilakukan dengan cara yang betul. Dari perspektif agama Islam, perniagaan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi juga merupakan suatu bentuk ibadat yang dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang peniaga yang sangat berjaya dan Baginda telah menunjukkan teladan yang baik dalam hal mengurus perniagaan dengan jujur dan amanah. Dalam kitab suci al-Quran, Allah SWT berfirman tentang etika yang perlu diaplikasikan dalam perniagaan yang bermaksud, “Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah 2:275).

Berdasarkan ayat tersebut, jelas dinyatakan bahawa perniagaan merupakan aktiviti yang dihalalkan dalam Islam selagi dilakukan dengan cara yang jujur dan beretika. Dasawarsa ini, jelas kelihatan persaingan dalam perniagaan semakin sengit. Selari dengan situasi tersebut, amat penting untuk peniaga Muslim mengamalkan prinsip Islam dalam perniagaan mereka. Dengan berbuat demikian, mereka bukan sahaja dapat menarik keberkatan dalam perniagaan, tetapi juga dapat meraih pahala yang besar di sisi Allah SWT.

Oleh hal yang demikian, para peniaga haruslah menyedari tanggungjawab mereka dan berusaha untuk mengamalkan prinsip yang dititikberatkan oleh agama Islam. Yang berikut merupakan beberapa prinsip penting yang perlu diikuti oleh para peniaga untuk meraih keberkatan dalam perniagaan mereka.

  1. Kualiti seiring harga

Peniaga perlu memastikan kualiti barangan yang dijual setimpal dengan harga yang dikenakan. Sebagai contoh, terdapat sesetengah peniaga makanan yang mengenakan harga yang mahal, tetapi hidangan yang dijual yang tidak segar dan tidak memenuhi cita rasa pelanggan. Situasi ini sudah pastilah akan menjejaskan kepercayaan pelanggan. Apabila sesuatu transaksi dilakukan, yang paling utama ialah kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan jual beli tersebut. Sebagai pembeli, mereka pasti mengharapkan makanan yang enak dan segar, jadi peniaga haruslah berusaha untuk memenuhinya dan bersikap adil. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangkan.”

 

  1. Jujur

Pada masa ini, tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ekonomi semasa mempengaruhi kos barangan mentah. Kenaikan kos ini memberikan impak yang besar kepada peniaga, dan kesannya jelas dapat dilihat pada harga makanan di kedai. Walaupun begitu, peniaga tidak boleh mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara melampau dan menyajikan saiz makanan yang tidak setimpal dengan harga tersebut. Kejujuran dalam perniagaan merupakan kunci untuk menjaga kepercayaan pelanggan dan meraih keberkatan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang yang fasik, kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik dan jujur.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Peniaga perlu memastikan kualiti barangan yang dijual setimpal dengan harga yang dikenakan.
  1. Menjaga kesihatan dan kebersihan

Acap kali dikhabarkan kepada kita bahawa persekitaran dan individu yang terlibat dalam penyediaan makanan wajib menjaga kebersihan dan kekemasan. Hal ini demikian kerana makanan dan minuman berpotensi untuk menyebarkan bakteria dan virus jika tercemar dengan bahan asing. Oleh sebab itu, pengendali makanan haruslah menggunakan pakaian seragam dan peralatan memasak yang sesuai. Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh peniaga termasuklah mereka perlu mendapatkan suntikan vaksin tifoid yang perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mereka terlibat dalam sektor pengendalian makanan. Kebersihan dan kesihatan merupakan aspek yang tidak boleh dipandang enteng dalam perniagaan makanan. Nabi Muhammad SAW ada menyebutkan bahawa kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. (Hadis riwayat Muslim).

 

Adab Berjual Beli

Dalam jual beli, pelanggan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan transaksi tersebut mendapat keberkatan. Para pelanggan haruslah berbudi bahasa dan mengamalkan adab yang betul ketika berurusan dengan peniaga. Tidak rugi untuk menjadi insan yang beradab kerana sifat tersebut amat terpuji. Yang berikut merupakan beberapa adab yang perlu diamalkan oleh pelanggan

 

  1. Bersabar

Pelanggan perlu mengamalkan sikap sabar dan tenang ketika melakukan urusan jual beli, terutamanya apabila keadaan sedang sibuk atau jika terdapat masalah dengan pesanan. Kadangkala akan berlaku situasi yang tidak digemari dalam transaksi yang dilakukan. Oleh itu, pelanggan haruslah bersabar dan merujuk penjual dengan pertanyaan yang elok dan akhlak yang baik.

 

  1. Mengucapkan terima kasih

Ketika urusan jual beli selesai dijalankan, ucapan terima kasih atau pujian kecil boleh diberikan kepada peniaga sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Ucapan terima kasih menandakan bahawa kita berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan tanda kesyukuran kerana urusan yang dilakukan berjalan dengan lancar. Selain itu, pelanggan juga haruslah mengelakkan kata-kata yang kasar dan memperkecil usaha peniaga. Jika ada penambahbaikan yang perlu dilakukan, maklum balas boleh diberikan dengan cara yang baik supaya perkhidmatan para peniaga boleh diperbaik.

 

  1. Bersikap jujur dalam transaksi

Sama seperti peniaga, pelanggan juga haruslah bersikap jujur dalam transaksi yang dilakukan. Sebarang kesilapan atau masalah haruslah diselesaikan secara profesional dan bersemuka. Trend tular dahulu baru bincang yang kini menjadi kebiasaan para pengguna juga haruslah dihentikan. Bertabayun dalam setiap perkara menjadi keutamaan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (tentangnya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa-apa yang kamu telah lakukan.”

Kesimpulannya, perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang mudah untuk menuai pahala kerana dengan menyediakan barangan jualan yang menepati nilai dan timbangan, pembeli akan reda dengan transaksi tersebut. Prinsip pelanggan sentiasa betul haruslah diaplikasikan dengan cara yang betul kerana pelanggan membayar bagi setiap perkhidmatan yang disediakan. Namun begitu, hal tersebut bukan alasan untuk para pelanggan tidak menghormati peniaga. Dengan mengamalkan nilai murni seperti yang dinyatakan, peniaga bukan sahaja akan mendapat keuntungan, bahkan turut mendapat keberkatan dan pahala.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.